KEDAH HASRAT MILIKI GEOPARK KEDUA



3kedahh
ALOR SETAR 3 Januari - Produk pelancongan negeri, Gunung Jerai dilihat memiliki keunikan tersendiri dan berpotensi dijadikan sebagai Geopark Unesco kedua Kedah.
Antara tarikan Gunung Jerai ialah peninggalan sejarah Tuan Sheikh Abdullah Yamani atau lebih dikenali sebagai Tok Syeikh, Makam Tok Sheikh, Padang Tok Sheikh dan Telaga Tok Sheikh.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri akan berusaha untuk memohon Gunung Jerai diberikan status Geopark.
“Kawasan Gunung Jerai berkenaan dilihat memiliki aspek unik dan ciri tersendiri untuk memohon pengisytiharan status sebagai Geopark.
“Ciri dimiliki Gunung Jerai tidak sama dengan Langkawi, namun ia didapati memiliki persamaan dengan Gunung Mat Chinchang dari segi umur batu,” katanya.
Mukhriz berkata, pihaknya berharap permohonan pengisytiharan status Gunung Jerai sebagai Geopark kedua diperoleh dalam masa terdekat antara satu hingga dua tahun.
Menurutnya, Kedah turut memiliki kelebihan tersendiri iaitu Sungai Merbok jika dibandingkan dengan sungai lain di seluruh dunia.
"Kira-kira 42 dari 60 spesies bakau di dunia terdapat di Sungai Merbok, yang mana membolehkan ia bakal menerima pengiktirafan Biosfera Unesco tahun ini," katanya.
Sementara itu, beberapa infrastruktur kawasan pelancongan Kedah diberi perhatian bagi memastikan keselesaan pelancong berkunjung ke negeri ini.
Mukhriz berkata, tidak dinafikan masih ada beberapa tempat pelancongan berkaitan perlu diberi perhatian.
“Jadi, mana-mana tidak termampu diuruskan kerajaan negeri, sememangnya kita sudah membuat permohonan kepada bantuan kerajaan persekutuan.
“Lagipun, kita cuma ada tempoh setahun dari awal Januari sehingga Disember tahun lepas untuk Tahun Melawat Kedah 2016 ini, “ katanya.
Menurutnya, tempoh setahun berkenaan dilihat tidak memadai bagi membolehkan mereka menyelesaikan semua masalah yang ada.
Namun begitu, beliau secara keseluruhannya berpuas hati dengan segala persiapan termasuklah dari segi prasarana.
Oleh : Nurul Hidayah Hamid
Sumber : Sinar