SEKTOR PERTANIAN TETAP DIBERI TUMPUAN



6sektor
GURUN 6 Disember – Sektor ekonomi di negeri ini terus berkembang maju seiring dengan kepesatan pembangunan dalam usaha menjadikan Negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang berdaya maju.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan Negeri tetap memberikan tumpuan terhadap sektor pertanian yang menyumbang kepada pertumbuhan yang berdaya maju.
“Kita ingin memastikan bekalan iaitu beras mencukupi untuk keperluan rakyat kerana Kedah merupakan negeri Jelapang Padi yang membekalkan beras kepada negara,” ujarnya ketika berucap pada majlis lawatan kerja ke kilang NPK Fertilizer Sdn Bhd.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan menambahbaik sektor pertanian terutama penanaman padi dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan petani di negeri ini.
“Kita ingin menjadikan sektor pertanian terus berkembang maju seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri pertanian,” jelasnya.
Beliau memberitahu, kerjasama daripada petani-petani juga amat diperlukan dalam usaha bersama-sama memajukan sektor pertanian agar pendapatan golongan petani dapat ditingkatkan.
“Selain penanaman padi, sektor pertanian lain juga turut diberikan perhatian ke arah merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan dilihat berupaya menyumbang kepada pembangunan Negeri Kedah,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan koperasi, YB. Dato’ Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail dan Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Dato’ Seri Haji Saipolbahari Haji Suib.
Sumber : UMTK