PROGRAM PENGASINGAN SISA PEPEJAL



6program
ALOR SETAR 6 Disember – Kerajaan Negeri menyokong penuh pelaksanaan program pengasingan sisa di punca bagi mengurangkan sisa pepejal yang di bawa ke tapak pelupusan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Dato’ Badrol Hisham Hashim berkata, dengan perlaksanaan itu, ianya diharap dapat mengurangkan peruntukan wang negara bagi proses pelupusan sisa pepejal.
Menurutnya, Kerajaan Negeri berharap agar semua rakyat di negeri ini dapat mempraktikkan pengasingan sisa di punca bagi menjaga dan mengekalkan kesejahteraan alam sekitar.
“Saya berpuas hati dengan prestasi dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh Syarikat E-Idaman, bukan sahaja dari aspek menjaga kebersihan malahan juga ianya merangkumi kerja-kerja kebajikan masyarakat setempat,” ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Kembara SAS (Pengasingan Sisa Di Punca) yang diadakan di Aman Central.
Beliau menjelaskan, pihaknya berharap agar E-Idaman bersama-sama SWCorp akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi ke arah mencapai sifar aduan dan menjadikan Negeri Kedah sebagai negeri pertama mencapai status ‘sifar’ aduan dalam aspek kebersihan persekitaran.
“Dalam hal ini, bukan syarikat kumpulan E-Idaman sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan menjaga kebersihan, malah setiap individu perlu bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan hasrat murni ini,” katanya.
Kepada warga kerja syarikat E-Idaman Sdn Bhd, pihaknya berharap agar usaha murni itu akan diteruskan dalam usaha melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi dan keikhlasan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah SWCorp Kedah, Puan Fadzilah Haji Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Encik Mohd Saiful Anuar Zainal.
Sumber : UMTK