GEMA KASIH@KOMUNITI



25gema
JITRA 25 November – Kedah merupakan negeri pertama yang mengambil inisiatif untuk menganjurkan pelancaran Gema Kasih@Komuniti yang secara tidak langsung memberi kesedaran dan menggalakkan masyarakat untuk mengerjakan amal kebajikan.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, kejayaan yang dicapai itu adalah hasil dedikasi, komitmen, semangat, kerjasama dan perhubungan rapat serta usaha gigih daripada semua pihak yang terlibat.
“Program yang diadakan pada hari ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat mengenai program-program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya pada majlis pelancaran Gema Kasih@Komuniti JKM Tahun 2015 yang diadakan di Tapak Pasar Sehari Alor Biak, Sungai Korok.
Menurutnya, ramai yang beranggapan bahawa JKM terlalu sinonim dengan bantuan kewangan, tetapi masih ramai yang belum mengetahui program-program atau perkhidmatan lain yang boleh diberikan oleh JKM. Maka selaras dengan matlamat untuk menyebarluaskan perkhidmatan JKM, maka program ini diadakan dengan tema iaitu ‘Pakat-Pakat Ambik Tahu’.
Beliau memberitahu, tugas membantu golongan sasar dalam satu-satu komuniti bukanlah terletak di bahu jabatan semata-mata kerana kefahaman masyarakat yang tinggi terhadap peranan JKM akan memudahkan urusan berkaitan bantuan oleh JKM kepada masyarakat.
Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri juga amat prihatin dengan rintihan masyarakat umum mengenai kos sara hidup. Selain bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga, Kerajaan Negeri melalui JKM telah memperkenalkan Skim Insentif Kelahiran Anak (IKA).
“Mulai tahun 2014, bantuan berbentuk barangan bayi bernilai RM100 telah diberikan kepada setiap keluarga yang menerima kelahiran bayi. Pada tahun ini, IKA ini telah ditambahbaik dan setiap bayi yang berdaftar akan diberikan baucar bernilai RM80. Baucar tersebut boleh ditukar dengan barangan bayi di kedai-kedai terpilih dan RM20 sebagai deposit bagi pembukaan Akaun SSPN-I,” jelasnya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan satu insentif yang memberi manfaat kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Skim Insentif Pendaftaran OKU telah diperkenalkan mulai 2015. Ini bermakna setiap OKU yang berdaftar dengan JKM Negeri Kedah pada 2015 akan menerima insentif bernilai RM100.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, YB. Dato’ Abu Hasan Sarif; ADUN Bukit Kayu Hitam, YB. Dato’ Ahmad Zaini Japar; Ketua Pengarah JKM, Dato’ Haji Zulkiply Ramli dan Pegawai Daerah Kubang Pasu, Haji Muhammad Helwi Harun.
Sumber : Sinar