KEMPEN MEMERANGI KANSER PAYUDARA




    7kempen
    ALOR SETAR 7 Disember - AVON Cosmetics Malaysia Sdn Bhd meneruskan kempen memerangi kanser payudara sepanjang bulan Oktober di seluruh negara bermula 3 hingga 31 Oktober 2015.
    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, AVON merupakan sebuah syarikat yang begitu prihatin dalam usaha membantu memberikan peningkatan hidup wanita menjadi lebih baik dalam segala aspek termasuklah mengenai penjagaan kesihatan payudara.
    “AVON Malaysia melalui kempen memerangi kanser payudara ingin meningkatkan kesedaran dengan menyampaikan mesej bahawa perkara seperti kesihatan payudara bukan menjadi topik yang privasi bagi wanita tetapi sebaliknya perlu diperkatakan secara terbuka oleh semua wanita dengan cara menggalakkan rakan-rakan, saudara mara atau ahli keluarga mengetahui risiko kanser payudara dan kesan dengan lebih awal,” ujarnya pada Kempen Memerangi Kanser Payudara di AVON Kosmetics Cawangan Alor Setar.
    Menurutnya, inisiatif tanggungjawab sosial ini merupakan satu kempen yang bertujuan memberikan pendedahan pendidikan dan kesedaran kepada semua wanita mengenai kepentingan mendapatkan pemeriksaan dengan cara mengesan lebih awal.
    “AVON melalui inisiatif peringkat global juga telajh melancarkan kempen kesedaran mengenai kanser payudara ini di 31 buah negara di samping menggalakkan wanita memberikan sokongan kepada satu sama lain untuk mendapatkan pemeriksaan dan berjumpa doktor,” jelasnya.
    Beliau memberitahu, seperti tahun-tahun sebelumnya, AVON dan rakan strategik iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sebuah agensi di bawah Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat telah turun padang memberikan pengetahuan dan kesedaran mengenai kanser payudara serta menggalakkan mereka melakukan sendiri pemeriksaan payudara.
    Melalui siri jelajah ini, katanya, perkhidmatan utama yang disediakan adalah mengenai cara-cara pemeriksaan sendiri payudara di dalam Klinik Bergerak LPPKN serta perkhidmatan percuma yang lain termasuklah pemeriksaan kesihatan.
    Sumber : UMTK