PERSIDANGAN SUKAN PERTAMA



20persidangan
ALOR SETAR 20 November – Kerajaan Kedah melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) merancang untuk mengadakan satu persidangan pada awal tahun depan untuk menghasilkan satu ‘blueprint’ pembangunan sukan negeri 2020-2025.
Exco Belia dan Sukan, Aminuddin Omar berkata, persidangan itu diharapkan dapat merangka strategi jangka panjang dan pendek dengan objektif utama Kedah menjadi kuasa besar sukan melalui penguasaan pingat emas terbaik di Sukma 2022 dan 2024.
“Kerajaan negeri sentiasa memberikan perhatian yang serius terhadap pembangunan sukan di negeri ini. Pelbagai langkah diambil untuk meningkatkan pencapaian sukan bagi atlet-atlet dari Kedah bagi menjulang nama negeri ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Secara tradisinya, Kedah merupakan satu ‘powerhouse’ dalam sukan bola sepak dan sepak takraw di Malaysia. Kerjasama tiga hala antara persatuan-persatuan sukan negeri, MSN Kedah dan Unit Sukan Jabatan Pendidikan Kedah perlu digembleng bagi memacu kemajuan dalam kedua-dua sukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan oleh Datuk Harun Abdul Aziz (BN- Kupang) yang bertanyakan mengenai usaha kerajaan negeri dalam pembangunan acara sukan pada Sidang Dun Kedah, semalam.
Menurutnya, beberapa sukan lagi dikenal pasti berpotensi dimajukan di Kedah seperti olahraga, angkat berat, berbasikal, pencak silat, squash dan sukan perahu layar.
“Daerah yang dikenal pasti sebagai pusat latihan negeri dan pusat latihan daerah melalui penempatan prasarana sukan serta jurulatih sepenuh masa dan separuh masa ialah Kubang pasu dan Jerlun bagi acara sukan angkat berat serta olah raga iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Janggus dan Sekolah Menengah Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.
“Pokok Sena menjadi pusat bagi sukan menembak iaitu di Lapang Sasar Pokok Sena, daerah Yan sebagai pusat latihan negeri sepak takraw di SMK Dulang dan Langkawi sebagai pusat latihan negeri bagi acara perahu layar,” katanya.
Aminuddin berkata, Sik dan Baling pula menjadi pusat kecemerlangan sukan tinju melalui penubuhan pusat latihan negeri Unit Sukan Prestasi Tinggi Negara (USPTN).
“Persatuan-persatuan sukan negeri dan MSN telah mengenal pasti beberapa sukan yang memerlukan kepakaran kejurulatihan luar negara seperti bola sepak dan sepak takraw.
“Badminton juga menggunakan dua orang jurulatih dari Indonesia. Selain itu, MSN Kedah sedang dalam usaha mendapatkan jurulatih akuatik terutamanya acara terjun dari China serta jurulatih Russina dalam acara olahraga,” katanya.
Namun begitu, kerajaan negeri juga perlu memberikan pertimbangan terhadap keadaan ekonomi semasa dan kesediaan atlet di peringkat akar umbi untuk menerima pertukaran teknologi dari jurulatih antarabangsa tersebut.
Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
Sumber : Sinar