ACARA SUKAN MAMPU TARIK PELANCONG



19acara
ALOR SETAR 19 November - Kerajaan negeri merancang menganjurkan prog­ram sukan, Eagle Cup Sepak Takraw sempena Tahun Melawat Kedah 2016 yang dijangka mampu menarik kedatangan pelancong ke ne­geri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebuda­yaan dan Pembangunan Insan ne­geri, Aminuddin Omar berkata, program tersebut telah mendapat ke­lulusan di peringkat Majlis Me­syuarat Kerajaan Negeri.
“Kita telah merancang program sukan baharu yang dilihat mampu untuk menarik pelancong kerana ia akan melibatkan persatuan dan pemain sepak takraw dari seluruh pelosok negara seperti Thailand dan Singapura.
“Program yang akan diadakan di peringkat antarabangsa itu akan diselaraskan oleh Majlis Sukan Ne­ge­ri Kedah, namun lokasi dan tarikh program belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Romani Wan Salim (Pas-Bukit Pinang) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Aminuddin berkata, penganju­ran sukan tersebut dapat menarik mi­nat pelancong menyertai acara sukan antarabangsa yang diadakan di negeri ini seperti Ironman Langkawi dan sukan kapal layar.
Sementara itu, beliau berkata, terdapat beberapa sukan yang telah dikenal pasti di negeri akan diberi perhatian iaitu sukan silat, tinju dan angkat berat.
“Banyak sukan yang telah dikenal pasti di Kedah dan sekarang kita dalam usaha untuk memperhebatkan lagi sukan-sukan ini dalam usaha ingin menerapkan budaya bersukan di negeri ini.
“Pelbagai langkah telah diambil untuk memastikan rakyat Kedah hidup sihat dan mengamalkan budaya bersukan dengan menganjurkan Hari Sukan Malaysia dan FitMalaysia peringkat negeri,” katanya.
Oleh : Nazmil Nasiruddin
Sumber : Utusan