KERAJAAN DICADANG BERI SUBSIDI ST5



22kerajaan
ALOR SETAR 22 November - Berikutan pemansuhan subsidi beras super tempatan ST15 baru-baru ini, kerajaan disaran memindahkan subsidi beras tersebut kepada beras ST5 bagi membolehkan rakyat kurang berkemampuan terus menikmati faedah tersebut.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusof Ismail berkata, jika sebelum ini kerajaan memberikan subsidi sebanyak RM750 setan bagi beras ST15, namun untuk beras ST5, pihaknya hanya mahu subsidi sebanyak RM500 setan.
Beliau berkata, menerusi cadangan itu, kerajaan mampu melakukan penjimatan sebanyak RM250 setan bagi beras ST5 yang dijual dengan harga RM1,650 setan kepada pemborong.
Program subsidi Beras ST15 diwujudkan kerajaan pada tahun 2008 sewaktu krisis makanan, namun dimansuhkan pada Oktober lepas berikutan terdapat banyak masalah ketirisan.
Sekiranya RM500 subsidi diberikan kepada beras ST5 katanya, ia boleh dijual pada harga RM21 (10 kilogram) dengan lebih berkualiti berbanding RM26 pada masa sekarang.
"Ini bererti harga beras seberat 10 kilogram (kg) ialah RM26 (bagi pasaran Kedah), manakala pemborong boleh menjual dengan harga RM2,000/tan (RM20/10kg) kepada peruncit sebelum peruncit menjualnya pula pada harga siling yang dicadangkan iaitu RM21.
"Apabila kerajaan beri subsidi ST5, pengguna akan dapat beras berkualiti, kerajaan dapat jimatkan perbelanjaan subsidi (berbanding ST15) dan kita yakin penyelewengan dan ketirisan dapat dielakkan," katanya.
Sementara itu Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) Ismail Awang berkata, subsidi beras adalah perlu bagi mengimbangkan harga pasaran selain mengelakkan harga beras naik mendadak sehingga RM30 bagi 10 kilogram.
Satu pertemuan katanya telah dibuat dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Sabery Cheek baru-baru ini antara lainnya bertujuan membincangkan keperluan untuk melantik pemborong yang berkelayakan dalam menggred beras.
"Sebab kita kena ingat beras ini makanan ruji rakyat, sedangkan pada 2008 subsidi ini diberikan kerana ketika itu harga beras meningkat," katanya.
Sumber : Sinar