PELAJAR DIMINTA BERUSAHA BERSUNGGUH-SUNGGUH



17pelajar
YAN 17 November - Pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini diminta agar berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha memperolehi keputusan yang membanggakan serta mengharumkan nama sekolah dan negeri ini.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pendorong utama kepada kejayaan pelajar dalam pelajaran ialah ibu bapa dan juga guru.
“Di sinilah letaknya peranan daripada pihak sekolah dan ibu bapa dalam memberikan sokongan dan dorongan dalam usaha memastikan anak-anak dan juga pelajar untuk berjaya dalam pelajaran,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Dengan Pelajar-Pelajar SPM Daerah Yan Sempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Yan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan.
Menurutnya, setiap pelajar perlu memanfaatkan pembelajaran yang diajar oleh guru-guru dalam usaha membentuk diri menjadi pelajar yang berilmu pengetahuan di samping menjadi pelajar yang baik.
“Seboleh-bolehnya, kita ingin melihat pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM memperolehi pencapaian yang membanggakan untuk keluarga mereka dan juga pihak sekolah,” jelasnya.
Beliau memberitahu, amalan yang terbaik untuk berjaya dalam pelajaran ialah berusaha bersungguh-sungguh dan tidak mudah lupa apa yang diajar oleh guru.
“Amalan seperti ini perlulah diterapkan di hati setiap pelajar untuk berjaya dan diharap mampu menjadi seorang pelajar yang bertanggungjawab dalam menuntut ilmu pengetahuan,” katanya.
Sumber : UMTK