BUKA TENDER BAIKI INSINERATOR DI LANGKAWI



17tender
ALOR SETAR 17 November - Kerajaan membuat tender terbuka untuk membaiki dan menguruskan loji pelupusan sampah (insinerator) di Pulau Langkawi yang kini mengalami kerosakan teknikal.
Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, insinerator terletak di Kampung Belanga Pechah, Kuah mula beroperasi pertengahan 2012 dan dihentikan enam bulan kemudian disebabkan masalah teknikal.
Beliau berkata, insinerator itu dibina oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan namun akibat beberapa masalah teknikal, ia terpaksa dihentikan.
"Kementerian itu sudah buka tender kepada syarikat yang mampu meneruskan operasinya," katanya ketika menjawab soalan lisan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah).
Menurutnya, masalah itu cuba diselesaikan segera bagi mengatasi masalah sampah dan mengekalkan kebersihan di sana sebagai tempat pelancongan.
"Kita sedar proses menguruskan sampah di Langkawi amat penting dan berharap insinerator itu dapat beroperasi semula secepat mungkin," katanya.
Menurutnya, dua unit insinerator itu dibina para 18 Mac 2008 dan mula beroperasi pada 22 Mei 2012. Ketika beroperasi, ia sudah membakar 30,000 metrik tan sampah.
"Insinerator itu berupaya membakar 100 metrik tan sisa buangan sehari dan mampu menjana tenaga sehingga satu megawatt," katanya.
Oleh : Nurul Fatihah Sulaini
Sumber : SInar