BAJET KEDAH 2016 JAMIN KEMAKMURAN RAKYAT



16bajet
ALOR SETAR 16 Nov. - Kerajaan negeri hari ini membentangkan Bajet Kedah 2016 berjumlah RM1 bilion yang menyaksikan corak perbelanjaan yang realistik dan berhemah demi menjamin kesinambungan kemakmuran rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir memberitahu, bajet berkenaan memfokuskan kepada memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri, penambahbaikan infrastruktur asas dan prasarana awam, pembangunan modal insan berkualiti tinggi, pembasmian kemiskinan rakyat dan memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan.
“Bajet 2016 memperuntukan anggaran sebanyak RM794 juta untuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM261 juta termasuk RM92 juta untuk projek pembangunan bekalan air.
“Kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM721 juta bagi 2016 yang menyaksikan sumbangan terbesar daripada hasil cukai dengan anggaran kutipan RM442 juta iaitu 61 peratus di samping terimaan bukan hasil dijangka sebanyak RM203 juta (28 peratus) dan hasil bukan cukai RM76 juta (11 peratus),” ucapnya ketika membentangkan bajet tersebut pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Tambah beliau, walaupun bajet berkenaan menyaksikan anggaran defisit sebanyak RM72 juta namun kerajaan negeri menjangkakan hasil negeri akan meningkat tahun hadapan berikutan beberapa projek antaranya projek perumahan, pembangunan bercampur dan tapak baharu industri yang akan dibangunkan di seluruh negeri.
Jelas beliau, kerajaan negeri tidak menyediakan peruntukan untuk projek fizikal yang berskala besar sebaliknya menumpukan kepada kerja menaiktaraf dan pemantapan prasarana yang sedia ada.
“Bagaimanapun bagi melaksanakan projek berskala besar kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri percaya dengan terjalin hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan sumbangan berkenaan akan disalurkan bagi membantu Kedah mencapai Wawasan 2020,” katanya.
Katanya, dalam usaha menyediakan infrastruktur bagi meningkatkan keselesaan rakyat sebanyak RM46 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf laluan negeri, membina dan menaiktaraf bangunan kerajaan termasuk RM25 juta bagi menaiktaraf jalan dan jambatan seluruh negeri.
Katanya, bagi 2016 kerajaan negeri juga akan meneruskan pembayaran pinjaman bagi pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil sebanyak RM45 juta setahun selain bantuan mengurus sebanyak RM11.5 juta kepada universiti berkenaan.
“Kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menyiapkan fasa kedua Maahad Tahfiz Sains Darul Amandi Kulim yang keseluruhan berjumlah RM12 juta dan dijangka siap 2016,” katanya.
Tambah beliau, Bajet 2016 meneruskan pelbagai program pembangunan sosial yang akan memberi manfaat kepada golongan sosial dengan memperuntukan sebanyak RM19.2 juta yang membabitkan projek basmi kemiskinan, projek kecil kemajuan luar bandar dan projek perumahan rakyat.
“Kerajaan negeri juga akan meneruskan program Bantuan Sewa Rumah Luar Bandar yang telah memanfaatkan 555 penduduk dan program Khairat Kematian dengan pemberian RM250 bagi setiap yang memohon,” katanya.
Selain itu, katanya, untuk program meningkatkan pendapatan golongan usahawan sebanyak RM6 juta diperuntukkan, sektor pertanian sebanyak RM10 juta, pengurusan sumber hutan (RM3 juta), pelancongan (RM9 juta) dan bayaran emolumen seluruh penjawat awam negeri (RM249 juta).
Katanya, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM2.28 juta bagi pembayaran bonus kakitangan penjawat awam negeri sebanyak RM500 pada Di­sember depan.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan