KEDAH CADANG WARTA HUTAN PAYA BAKAU



18lesen
SUNGAI PETANI 22 Oktober - Kedah bercadang mewartakan Hutan Paya Bakau Sungai Merbok berkeluasan 3,000 hektar sebagai Rizab Biosfera Unesco, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan itu kepada Unesco pada Januari 2016 apabila penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) menyelesaikan kajian itu.

"Kita buat keputusan untuk mengawal pembangunan yang berlaku di kawasan ini kerana kita nak mencari satu titik keseimbangan antara pembangunan dengan kerja melestarikan alam semula jadi kita.

"Ini tidak bertujuan mengacau periuk nasi masyarakat di sini, sebaliknya kami sedang mencari cara yang menggunakan alam semula jadi, tetapi pada masa yang sama menjana pendapatan lebih lumayan masyarakat di sini melalui aktiviti perikanan seperti sangkar ikan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hutan paya bakau tersebut, kata Mukhriz, unik dengan 42 spesies paya bakau daripada 60 spesies di dunia terdapat di situ, satu daripadanya ialah Pokok Mata Buaya yang hanya terdapat di empat kawasan paya bakau di seluruh dunia.

Dalam lawatan hari ini, Mukhriz berkesempatan menyusuri Sungai Merbok dari Jeti Semeling ke Tanjung Dawai, dan singgah di Teluk Kedangsar, yang turut disertai Adun Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Unesco Biosfera di pejabat Majlis Perbandaran Sungai Petani bersama penyelidik USM dan Jabatan Perhutanan.

Menurutnya, bagi memelihara khazanah negara di kawasan tersebut juga, kerajaan negeri akan mengehadkan aktiviti penebangan bakau, selain meminta pihak tertentu mengurangkan kelajuan bot di sekitar paya bakau bagi mengelak hakisan paya bakau.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata, satu dosir mengandungi data-data kajian lengkap perlu dihantar kepada Unesco untuk dinilai sebelum mendapat status rizab biosfera itu.

Katanya USM membuat kajian 40 tahun untuk mewartakan kawasan tersebut.
Mokhtar berkata, sekiranya Unesco mengisytiharkannya sebagai rizab Biosfera, Kedah akan mendapat dua faedah utama iaitu kedatangan pelancong Biosfera dari seluruh dunia dan memperbetulkan pembangunan dengan cara lebih lestari.

"Apabila ia mendapat status biosfera, maka ia akan dikenali sebagai satu tapak global dan dapat menarik lebih ramai penyelidik dan kita juga berkongsi pengetahuan daripada penyelidik Biosfera yang lain. Kita optimis akan mendapat status tersebut," katanya.

Ketika ini, dua tempat di negara ini telah disytiharkan sebagai rizab biosfera iaitu Tasik Chini di Pahang pada 2009, dan Banjaran Crocker di Sabah pada tahun lepas.
Sumber : Sinar