SENI DAN BUDAYA PUPUK PERPADUAN



20perpaduan
SUNGAI PETANI 20 Oktober - Aktiviti kesenian dan kebudayaan daripada pelbagai kaum serta agama yang wujud di negara ini adalah satu keunikan yang mampu memupuk semangat perpaduan dan keharmonian yang perlu dipertahankan.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, biar pun terdapat pelbagai kaum dan agama, hubungan antara masyarakat terus terjalin dengan baik tanpa mengambil kira perbezaan warna kulit mahu pun agama dalam kalangan rakyat di negeri ini.
“Inilah keistimewaan yang ada di negara ini kerana melalui kepelbagaian aktiviti dan program kesenian serta kebudayaan mampu menyatukan hubungan mereka yang diamalkan Kerajaan sejak sekian lama,” ujarnya ketika merasmikan Karnival Pesta Tanglung Peringkat Negeri Kedah di Jalan Pengkalan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan hubungan baik antara kaum terus terjalin dan antaranya melalui aktiviti atau program kesenian serta kebudayaan yang membabitkan masyarakat daripada semua kaum.
“Sebagai contoh pesta tanglung yang disambut setiap tahun oleh kaum Cina, kita mahu sambutan sebegini bukan saja membabitkan satu kaum, tetapi semua. Begitu juga perayaan lain yang dapat mengekalkan keharmonian kaum,” katanya.
Pada majlis itu, Menteri Besar turut meluangkan masa meninjau pelbagai lukisan mural yang dilukis pada dinding dan beramah mesra dengan masyarakat yang turut memeriahkan sambutan pesta tanglung berkenaan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan India, Kesihatan serta Perpaduan, YB. Dato’ Dr Leong Yong Kong dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain.
Sumber : UMTK