KEKAL KUOTA PERUMAHAN 30:70



12Kuota
ALOR SETAR 12 September – Kerajaan Kedah mengesahkan bahawa kuota perumahan bagi hartanah bukan rizab Melayu kekal 30:70. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya tidak bercadang untuk melakukan sebarang kenaikan atau penurunan terhadap kadar peratusan berkenaan dalam masa terdekat.
“Kita masih mengekalkan kuota perumahan sedia ada iaitu 30 peratus untuk Bumiputera dan 70 peratus untuk bukan Bumiputera bagi tanah rizab bukan Melayu. Bagaimanapun, pengecualian hanya diberikan di kawasan Langkawi bagi semua projek perumahan sebanyak 50 peratus untuk Bumiputera dan 50 peratus lagi untuk bukan Bumiputera,” ujarnya.
Menurutnya, kuota perumahan bagi tanah rizab Melayu pula adalah kekal sebanyak 100 peratus bagi pembeli Bumiputera sahaja. Kadar peratusan ini dilaksanakan sejak dahulu lagi dan pihak Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk melakukan sebarang perubahan.
“Kita menyedari kadang-kadang timbul rungutan rakyat terhadap harga rumah yang terlalu mahal, tetapi kita tidak dapat nafikan hak mereka yang berkemampuan. Rumah yang dijual pada harga mahal kebanyakannya adalah dibina oleh syarikat swasta berdasarkan syarat yang telah ditetapkan, bukan dibina Kerajaan. Kita akui bilangan yang mampu beli rumah mahal terlalu kecil, tetapi kita ada dasar kuota yang ditetapkan. Misalnya syarikat perumahan itu nak bina 1,000 rumah, hanya 20 peratus daripadanya adalah yang mahal,” jelasnya.
Tambahnya, tidak timbul isu menyingkirkan masyarakat Melayu di Kedah dalam soal pemilikan rumah dengan penjualan pada harga yang mencecah hampir RM1 juta. Kerajaan Negeri sedang berusaha melalui pelbagai agensi seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan dasar perumahan sendiri untuk tujuan penyediaan rumah mampu milik.
“Keutamaan kita adalah untuk membina rumah teres satu tingkat, dua tingkat dan sebagainya kepada yang berpendapatan rendah. Kerajaan Negeri Kedah juga dalam pertimbangan untuk membina rumah menerusi projek PR1MA berkonsepkan apartmen mampu milik. Projek ini masih dalam perancangan awal dan kajian untuk membina sejumlah unit rumah mampu milik di Kuala Kedah dan Langkawi,” katanya.
Sumber : UMTK