PROJEK MEGA TERMINAL PERIKANAN


25projek
ALOR SETAR 25 Oktober - Kerajaan berharap projek mega Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) bernilai lebih daripada RM3 bilion di Kuala Tebengau, Kuala Kedah dekat sini dapat disenaraikan di dalam rangka inisiatif Laluan Sutera Maritim yang diperkenalkan China.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, inisia­tif yang menjadi tumpuan kerajaan China dalam tempoh setahun dua itu adalah untuk merapatkan hubungan dengan negara-negara jiran itu terutamanya dalam bidang pelaburan.
“Kita berharap KIFT dapat dimasukkan ke dalam konteks kerjasama antara Malaysia dengan China. Projek Laluan Sutera Maritim ini telah mendapat sambutan daripada kita, beberapa seminar mengenainya sudah diadakan. Sekarang ini, hendak melihat kepada kepada kandungannya kerana konsepnya sudah difahami,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) dengan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Mesyuarat kali kedua yang diadakan selepas 2013 itu dipengerusikan bersama dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Sebanyak empat kertas perbincangan dan sembilan kertas makluman daripada kerajaan negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta agensinya telah dibentangkan pada mesyuarakat kali ini.
Antaranya, cadangan Pembangunan Zon Industri Fasa Kelima Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP); Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP); Bandar Raya Getah dan KIFT.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, dalam konteks kerjasama sedia ada di antara kedua-dua belah pihak, Kuantan sudah mempunyai hubungan dengan Qinzhou melibatkan kerjasama dengan syarikat dari negara itu dalam membangunkan sebuah taman perindustrian dan di Melaka pula, kerajaan negeri telah menjalinkan kerjasama dengan wilayah Guangdong.
“Kalau di Tebengau, Kedah pula, kerajaan negeri menjalinkan kerjasama dengan Qingdao. Ia akan menjadi suatu projek yang dipantau kerajaan di peringkat secara rasmi, sudah pasti akan diberi keutamaan lebih tinggi.
“Oleh itu, kita harus beri tum­puan lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menggalakkan pelaburan. Kalau tidak, hasrat menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi akan terjejas, semua agensi pusat dan negeri perlu tumpu perhatian untuk galakkan pelaburan,” katanya.
Sementara itu, Mukhriz berkata, nilai pelaburan untuk pembinaan terminal Tebengau itu sahaja dianggarkan RM1 sehingga RM2 bilion, ini tidak termasuk dengan pembinaan sebanyak 20 kapal bernilai RM2 bi­lion yang turut memerlukan permit dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Beliau berkata, perjalanan projek berimpak tinggi tersebut masih di peringkat awal memandangkan kajian Laporan Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) perlu dijalankan kerana kawasan itu berada pesisir pantai.
“Projek ini dijangkakan akan siap tidak lama lagi, kerana di peringkat kerajaan negeri secara dasarnya sudah diluluskan tetapi sekarang ini hendak memasukkan lebih maklumat pembangunan terperinci.
“Kita harap akan dapat pendaratan pertama ikan tuna pada pertengahan 2017, sama-sama kita nantikan dalam masa dua tahun lagi,” katanya.
Oleh : Nazmil Nasiruddin
Sumber : Utusan