KEPIMPINAN BELIA PERLU CEKAP



12Belia
ALOR SETAR 12 September – Barisan kepimpinan belia di negeri ini bukan sahaja perlu cekap, berwawasan dan berkesan, malah mereka perlu sentiasa bekerjasama rapat untuk mencapai satu objektif yang disepakati bersama-sama.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, peranan pentadbiran pertubuhan belia perlu didefinasikan dengan jelas bagi memudahkan pelaksanaan dan melicinkan pentadbiran pertubuhan belia.
“Selain itu, untuk mencapai perubahan seperti yang diingini, pemimpin unggul hendaklah dizahirkan dan pemimpin-pemimpin pertubuhan belia perlu memainkan perana utama dalam mengerakkan perubahan ke arah transformasi pertubuhan belia,” jelasnya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Majlis Perundingan Belia Negeri Kedah, Sidang Pertama Tahun 2015 yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Aman.
Menurutnya, pemimpin pertubuhan belia mesti menerima perubahan yang dapat meningkatkan sumber kewangan, sistem tadbir urus dan sistem penyampaian terbaik. Pengumpulan dana harus diberi fokus baru kerana hal ini dapat membuka lebih banyak peluang mempelbagaikan aktiviti.
Beliau menjelaskan, mengurus pertubuhan belia memerlukan kesepaduan dalam kepimpinan belia. Dengan kata lain, walau apa pun jenisnya kepimpinan yang digunakan, hubungan dan jalinan kerjasama khususnya pertubuhan belia dan pihak Kerajaan yang ada perlu sentiasa erat dan tidak boleh berkurangan kerana kewujudan sebarang konflik akan menyebabkan keputusan yang dibuat tidak tepat dan kemungkinan memberi kesan negatif terutama dalam sistem penyampaian.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Haji Aziz Haji Hamid dan Pengerusi Majlis Belia Negeri Kedah, Aizat Roslan.
Sumber : UMTK