JANGAN TERPENGARUH DAKYAH EKSTREM



12Dakyah
ALOR SETAR 12 September – Pelajar negeri ini yang berpeluang menyambung pengajian ke Mesir dan termasuk ke beberapa negara Asia Barat lain dinasihatkan tidak terpengaruh dengan dakyah ekstrem sehingga menjejaskan matlamat sebenar untuk berbakti kepada agama serta negara.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, setiap pelajar sepatutnya perlu memberi perhatian yang sepenuhnya kepada pengajian masing-masing dan tidak campur tangan dengan sebarang urusan di negara mereka belajar.
“Setiap pelajar juga perlu mempunyai jati diri yang kuat dengan mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan fahaman songsang seperti militan Negara Islam (IS) yang melakukan keganasan atas nama Islam,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas majlis penghantaran 219 pelajar negeri ini ke Mesir yang kebanyakannya ke Universiti Al-Azhar, Mesir yang diadakan di Maktab Mahmud, Jalan Pegawai.
Menurutnya, setiap daripada pelajar perlu mempunyai anggapan bahawa menyambung pengajian itu merupakan salah satu jihad terpenting kerana dengan ilmu pengetahuan yang mereka peroleh nanti dapat disumbang kepada masyarakat melalui pelbagai cara.
“Mungkin pada masa hadapan, ada yang menjadi pendakwah dan guru yang akan mengajar bangsa kita untuk berjaya. Ini bukan sekecil-kecil pengorbanan, saya harap mereka faham jihad yang boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan jangan terpengaruh dengan mana-mana dakyah yang cuba disebarkan oleh pihak yang punyai agenda tertentu,” jelasnya.

Sumber : UMTK