Hari Tanpa Beg Plastik Bakal Diperluas


10hari
 
Oleh Safina Ramli
 
ALOR SETAR 10 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berhasrat mem­perluaskan kempen Hari Tanpa Beg Plastik bagi me­ngurangkan pencemaran alam sekitar.
 
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kempen tersebut yang kini dilaksanakan pada setiap hari Sabtu di seluruh negara mungkin akan dijalankan pada hari-hari cuti umum atau hari Ahad.
 
Katanya, sejak kempen tersebut dimulakan pada 1 Januari 2011, pengguna yang membeli-belah di pasar raya dan kedai yang terlibat tidak lagi dibekalkan beg plastik secara percuma tetapi perlu membayar sebanyak 20 sen jika mahu menggunakannya.
 
“Berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada peniaga dan masyarakat, kita berasakan kempen ini wajar diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan.
 
“Antara cadangan yang mungkin kita boleh pertimbangkan adalah menambah bilangan hari kempen berbanding hanya sehari sahaja ketika ini. Misalnya, selain hari Sabtu kita juga boleh laksa­nakan pada hari cuti seperti hari Ahad yang mana orang ramai keluar membeli-belah,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas me­rasmikan Program Penanaman Pokok anjuran AEON Big (M) Sdn. Bhd. (AEON Big) sempena pembukaan cawangan terbarunya yang ke-29 pada bulan hadapan di sini semalam.
 
Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan AEON Big, Mitsuru Nakata.
 
Menurut Ahmad Bashah, walaupun pengguna dikenakan ba­yaran 20 sen bagi setiap beg plastik yang digunakan melalui kempen itu, namun ia bukan untuk membebankan mereka atau diguna bagi menambah keuntungan syarikat atau peniaga terlibat.
 
“Wang tersebut akan dikumpul dan disimpan di dalam satu dana khas yang mana dikembalikan semula kepada masyarakat melalui program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya.
 
Sumber : Utusan