Bandar Aeroangkasa Dibina Jika KXP Lulu

13kerajaan
Oleh Opat Rattanachot
KULIM 13 November - Kerajaan Kedah bercadang mewujudkan bandar aeroangkasa atau Aero­city berdekatan lokasi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sekiranya diluluskan kerajaan pusat tidak lama lagi. 
Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, setakat ini beberapa syarikat multinasio­nal dan tempatan telah menyatakan minat mereka untuk me­labur dalam industri aeroangkasa se­perti komponen kapal terbang serta peranti elektronik berkaitan.
Beliau berkata, projek Aero­city ini akan menjadi kluster untuk industri aeroangkasa terutama­nya berkaitan dengan pembuatan komposit untuk kapal terbang.
“Ini bermakna KXP bukan sahaja lapangan terbang tetapi turut menawarkan peluang dalam bidang industri aeroangkasa,” kata­nya kepada pemberita selepas me­rasmikan majlis penutup program Science on Wheel di Silterra Malaysia Sdn. Bhd. di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini hari ini.
Yang hadir bersama ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi negeri, Norsabrina Mohd. Noor dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec) Tan Sri Abdul Halim Ali.
Mukhriz berkata, bidang ­ae­­ro­­angkasa berpotensi untuk kembang pesat memandangkan pemain utama industri itu seperti Boeing dan Airbus sudahpun bertapak di negara ini.
“Pembuat komposit kapal terbang sudah lama wujud ia­itu ada di Melaka, Subang dan Changlun, Kedah tetapi tidak secara berkelompok. Jadi, bila ada cadangan untuk kita membina KXP, ia menarik minat pelabur berkenaan,” katanya.
Beliau memberitahu, selain kemudahan lengkap, faktor perolehan bekalan sokongan dalam bidang elektronik di KHTP turut menarik minat pelabur untuk menanam modal di bandar aeroangkasa berkenaan.
“Walaupun KXP masih belum dapat kelulusan tetapi bila sudah ada minat daripada banyak syarikat aeroangkasa yang minat untuk me­labur, ini meyakinkan kami bahawa projek lapangan terbang bakal menjana peluang ekonomi kepada ne­geri dan negara,” katanya.
Dalam perkembangan ber­kaitan, Mukhriz memberitahu, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dijangka menyiapkan laporan kajian kebolehupayaan (feasibility) projek pembinaan KXP dalam tempoh tiga bulan lagi.
“Di pihak kita, kerajaan negeri tidak duduk diam. Kita berbincang dengan pelbagai pihak. Pembinaan lapangan terbang itu boleh menjadi pencetus ekonomi di zon utara, bukan hanya Kedah tetapi juga Perlis, Pulau Pinang dan Perak selain selatan Thailand,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap ia akan mendapat maklum balas yang baik daripada kerajaan pusat.
Sumber : Utusan