Mukhriz Bentang Bajet 2015 RM804 Juta

17mukhriz
Oleh Safina Ramli
ALOR SETAR 17 November - Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini membentangkan Bajet Kedah 2015 berjumlah RM804 juta sebagai kesinambungan tradisi keupayaan kerajaan dalam memakmurkan negeri dan membawa kemajuan kepada semua lapisan rakyat.
Bertemakan Ekonomi Modal Memakmurkan Rakyat, Bajet 2015 itu merupakan bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan lebih menumpukan kepada penyelesaian projek-projek dan program yang telah dirancang dalam RMK-10, selaras dengan empat teras pembangunan negeri yang ditetapkan.
Mukhriz berkata, empat teras pembangunan negeri yang ditetapkan itu ialah menjamin kemakmuran dan kelangsungan kesejahteraan rakyat, merangsang pertumbuhan ekonomi dalam negeri, memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengupaya modal insan dan keusahawanan.
“Daripada peruntukan seba­nyak RM804 juta itu, sejumlah RM527 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM276,980,046 bagi perbelanjaan pembangunan.
“Selain itu, daripada jumlah peruntukan perbelanjaan mengurus, sebanyak RM194 juta diperuntukkan bagi menampung defisit pembangunan di bawah Kumpulan Wang Perbelanjaan Negeri,” katanya ketika membentangkan Bajet 2015 dalam sidang Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Menurut Mukhriz, untuk 2015, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM743,656,021 pada tahun tersebut dengan mengambil kira hasil yang berhak dikutip.
“Antara hasil yang berhak dikutip ialah anggaran hasil tanah, anggaran kutipan tunggakan hasil tanah, anggaran premium tanah, hasil air, dividen, pelaburan dan cukai tertunggak,” jelasnya.
Tambah beliau, bagi menjamin kemakmuran dan kelangsungan rakyat, kerajaan memperuntuk RM52.4 juta melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyediakan kemudahan infrastruktur jalan dan kemudahan lain.
Untuk bidang pendidikan, agama dan modal insan pula, Mukhriz memberitahu, kerajaan menyediakan RM18 juta sebagai permulaan bagi menyediakan pelbagai program dan strategi untuk membantu para pelajar meningkatkan prestasi akademik.
“Untuk bidang pertanian, kerajaan negeri memperuntuk RM47.79 juta, pelancongan (RM8 juta), sukan (RM23 juta) manakala pembangunan sosial (RM21.5 juta) dan teknologi maklumat (RM4 juta).
“Kerajaan negeri juga menyediakan dana RM242 juta untuk pembayaran emolumen, manakala kos perkhidmatan dan bekalan seba­nyak RM157 juta berbanding RM132 juta bagi tahun 2014 berikutan kenaikan kos utiliti,” jelasnya.
Namun kata beliau, kerajaan negeri di bawah pimpinannya yang berusia dua tahun itu terpaksa menanggung bebanan hutang seba­nyak RM45 juta setahun selama 15 tahun bagi menyelesaikan kos pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil.
“Sekiranya bebanan jumlah yang besar ini dapat dibebaskan daripada kerajaan negeri, wang sebanyak itu pasti dapat digunakan bagi projek yang dapat memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Mukhriz berkata, walaupun Bajet 2015 mencatatkan defisit RM60 juta iaitu jumlah terbesar yang pernah dirangka berbanding kerajaan negeri sebelum ini, beliau yakin perkara tersebut mampu diatasi dengan menggunakan himpunan rizab negeri.
Sumber : Utusan