MERBOK 20 November – Masalah perparitan
yang berlaku dekat Taman Lembah Bujang bakal diatasi apabila tindakan
segera dilakukan pada peringkat permulaan bagi mengelakkan banjir
berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan,
Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata,
pihaknya melakukan lawatan ke lokasi berkenaan dan mendapati saluran
berkenaan tersumbat.
Menurutnya, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) melakukan pembersihan awal bagi memperbaiki saluran berkenaan.
“Sebelum ini, ramai yang merungut
tentang masalah banjir dekat Kampung Pekan Sebelah dan Taman Lembah
Bujang. Ketika tinjauan dibuat mendapati laluan air tersumbat. Ia
dipercayai berpunca daripada saluran paip yang tersekat di bahagian
bawah menyebabkan air melimpah dan menyebabkan beberapa penduduk
terjejas,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya bersama Jabatan
Kerja Raya (JKR) akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran
(JPS) bagi mengatasinya selain MPSPK.
“Kita akan berganding dengan pihak
terlibat dalam usaha membaik pulih laluan air yang tersekat. Setakat
ini, MPSPK membuat operasi pembersihan peringkat awal sebelum
kerja-kerja lain menyusul kemudian,” katanya.
Beliau bagaimanapun menasihati penduduk
untuk menjaga kebersihan kawasan kediaman, selain memelihara sistem
perparitan dari tercemar dengan sisa buangan yang boleh mengakibatkan
masalah bukan sahaja kepada penduduk, malah menjejaskan alam sekitar.
Sumber : UMTK