300 Penoreh Terima Bantuan

17penoreh
Oleh Norlia Ramli
BALING 17 November - Keresahan penoreh getah di kawasan ini terus mendapat perhatian pemimpin setempat yang turun padang bagi mendengar keluhan mereka selain turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban.
Hampir 300 penduduk terdiri daripada penoreh getah itu merasa gembira apabila menerima bantuan berupa makanan asas dan juga wang perbelanjaan melalui program turun padang pejabat Parlimen Baling dan Persatuan Pekebun dan Penoreh Getah (Pergetah) semalam.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, peruntukan bantuan sebanyak RM200,000 kepada penoreh getah sedang disalurkan kepada mereka secara berperingkat.
“Ini adalah siri kedua Pergetah bersama pejabat Parlimen Baling turun padang berjumpa dengan penoreh getah.
“Sebelum ini, kami di Kampung Mamali dan selepas ini bantuan akan terus disalurkan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mereka ekoran harga getah yang murah,” kata Abdul Azeez.
Beliau berkata demikian ketika majlis turun padang Ahli Parlimen bersama Pergetah di Kampung Dalam Wang, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Pergetah, Mohd. Taufik Yaacob dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Harun Abdul Aziz.
Menurut Abdul Azeez, beliau juga menyediakan dana sebanyak RM1 juta untuk penoreh getah di Parlimen Baling.
“Saya juga akan memberikan bantuan sampingan lain sekiranya ada dalam kalangan penoreh itu ingin melakukan pekerjaan sampingan lain seperti menanam pisang, lada hitam, menternak ikan, udang dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Taufik berkata, pengagihan tersebut akan dihulurkan terus ke rumah penoreh getah bagi memastikan barang tersebut sampai kepada mereka.
“Ini adalah salah satu perjuangan Pergetah bersama Ahli Parlimen untuk mendapatkan bantuan kepada rakyat terutamanya penoreh getah.
“Kita akan memastikan nasib mereka terbela dan dari semasa ke semasa kita akan teruskan perjuangan untuk mengembalikan harga getah agar ia terus naik sehingga ke harga yang lebih tinggi lagi,” kata Mohd. Taufik.
Penerima bantuan, Abu Hassan Yaacob, 66, berkata, dia amat terharu dan merasa gembira apabila kerajaan prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat sepertinya.
“Terima kasih kepada kerajaan yang banyak membantu rakyat dan sanggup turun padang mendengar dan melihat dengan sendiri masalah rakyat.
“Sedikit sebanyak kami me­rasa gembira dan terubat dengan masalah yang sedang kami tanggung ini dan diharapkan kerajaan terutamanya pemimpin-pemimpin setempat dapat mendengar keluhan rakyat dan segera bertindak untuk mengatasinya,” kata Abu Hassan.
Sumber : Utusan