NCIA Serius Jayakan Projek Hospital dan Lebuh Raya

22NCIA
BANDAR BAHARU 22 September– Projek pembinaan sebuah hospital baru dan lebuh raya yang menghubungkan daerah ini dengan Sungai Petani bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi apabila beberapa pihak kini bersetuju menjayakan projek berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, antara badan berkenaan adalah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). Malah, perbincangan secara serius berhubung pelaksanaan projek tersebut juga telah dijalankan Kerajaan Negeri dengan Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Dato’ Redza Rafiq Abdul Razak baru-baru ini.

“Kedua-dua projek tersebut merupakan antara akujanji Barisan Nasional (BN) dalam kempen pilihan raya umum ke-13 lalu. Projek ini bakal direalisasikan tidak lama lagi dengan kerjasama beberapa pihak termasuk NCIA dan Kerajaan Pusat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Kembara Seindah Syawal 2014 anjuran NCIA di Perkarangan Masjid Al-Ridzuan, Kampung Celong.

Menurutnya, berdasarkan perancangan Kerajaan Negeri, projek lebuh raya terbabit mempunyai jarak kira-kira 80 kilometer menghubungkan Bagan Samak, di sini dan melalui Taman Teknologi Tinggi Kulim hingga ke Amanjaya, Sungai Petani.

“Kewujudan lebuh raya baru tersebut dijangka memberikan manfaat besar termasuklah merancakkan lagi ekonomi di beberapa kawasan seperti Sungai Kob, Padang Serai dan Mahang,” ujarnya.

Sumber : UMTK