Kerjasama Strategik KKK, Agensi Beri Manfaat Kepada Pelajar

KULIM 23 September - Majlis Kolaborasi Strategik 2014 anjuran Kolej Komuniti Kulim (KKK) bagi mewujudkan perkongsian pintar dalam bidang latihan dan pendidikan berlangsung dengan jayanya di dewan persidangan kolej itu di sini, baru-baru ini.

Antara agensi dan syarikat yang menyertai program itu termasuk Jobs Malaysia Kedah, Jabatan Tenaga Kerja negeri, Kumpulan Barkath, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Kulim, Rzac Cosmetic, EDC Universiti Utara Malaysia (UUM), MNZWAJ Assodiates, R & Z Cosmetics dan Darwish Printing Solutions.

Program meliputi perkongsian maklumat, teknologi kepakaran dan latihan industri dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar KKK yang berkualiti termasuk untuk menghadapi dunia pekerjaan selepas tamat pengajian.

Menurut Pengarah KKK, Abdul Rahim Hashim, pihaknya sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana agensi di negeri Kedah dan Pulau Pinang ke arah melahirkan lebih ramai usahawan muda dengan memberikan mereka latihan dan bimbingan secukupnya.

"Setakat ini, beberapa pelatih di KKK berjaya memperoleh kejayaan hebat dalam bidang tertentu dan usaha menambah usahawan baru perlu dilakukan dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program tersebut.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Thiong Ghee merangkap Lembaga Penasihat KKK ketika berucap merasmikan majlis itu berkata, usaha dilakukan banyak memberi manfaat kepada bakal pelajar kolej berkenaan.

"Masyarakat tempatan juga perlu ambil peluang menyertai program ini hasil jalinan kerjasama antara agensi berkenaan dengan KKK itu," katanya.

Menurutnya, cita-cita KKK untuk membawa perubahan hidup kepada masyarakat tempatan bakal menjadi kenyataan jika usaha dilakukan sentiasa mendapat sokongan semua pihak.

Sementara itu, Eksekutif Sumber Manusia EDC UUM, Wan Eina Isma Wan Kamarulzaman berkata, kerjasama seumpama itu mampu melahirkan lebih ramai pelajar KKK yang berkualiti dalam menghadapi kerjaya di masa akan datang.

"Melalui perbincangan diadakan itu, pihak UUM sedia melakukan apa sahaja yang terbaik untuk membawa perubahan lebih menarik di KKK tersebut," katanya.

Sumber : UTUSAN