Mangsa Kebakaran Dipindahkan Ke Flet Seri Gemilang

21mangsa
ALOR SETAR 21 September – Seramai 10 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Pegawai Seberang Keretapi di sini akan dipindahkan ke Flet Seri Gemilang untuk sementara, sehingga penyelesaian dicapai di antara Kerajaan Negeri dengan Pejabat Daerah Kota Setar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, pihaknya sedang berurusan dengan pejabat daerah bagi mencari penyelesaian, sama ada untuk membina semula perkampungan itu atau menggunakan inisiatif lain untuk membantu mangsa.

Katanya, Kerajaan Negeri boleh memilih memberi bantuan atas dasar prihatin, namun tidak wajib untuk membina semula penempatan terbabit kerana ia adalah kawasan setinggan yang tidak terancang.  Kerajaan Negeri menguruskan beberapa perkara sebelum memulakan pemindahan mangsa kebakaran itu ke rumah pangsa berkenaan sebagai penempatan sementara bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Kita tetap kenakan bayaran tetapi dalam bentuk token kerana memahami mereka dalam kesempitan, namun ia adalah prosedur yang perlu dipatuhi Kerajaan. Saya akan membawa perkara ini ke dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti kaedah yang boleh digunakan untuk membantu semua mangsa,” ujarnya ketika ditemui selepas meninjau tapak kebakaran di kampung berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, semua pihak harus sedar, status perkampungan itu sebagai kawasan yang tidak terancang. Kerajaan Negeri akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik.

Sumber : UMTK