Gilap Bakat Muda Jadi Sukarelawan

21gilap
BALING 21 September – Ahli Persatuan Pengakap akan digilap menjadi sukarelawan dalam kerja kebajikan untuk membantu masyarakat supaya mereka juga mampu berbakti kepada negara pada masa depan.

Ahli Parlimen Baling, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, penyertaan pelajar sekolah dalam persatuan pengakap mencerminkan mereka juga ada tanggungjawab untuk melaksanakan kerja kebajikan. Mereka akan digilap melalui persatuan masing-masing diperingkat sekolah supaya selepas melangkah ke alam dewasa, segala ilmu yang dipelajari dapat digunakan dengan sebaiknya.

“Remaja diperingkat sekolah perlu digilap dengan bersungguh-sungguh supaya mereka mempunyai tanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat dan negara suatu hari kelak. Sekiranya mereka memiliki ilmu di dada, nescaya mereka akan menjadi manusia yang berguna dan mampu menyumbang bakti kepada negara,” katanya ketika merasmikan penutup Perkhemahan Persahabatan Dua Negara Pengakap Malaysia dan Thailand di Sekolah Menengah Kebangsaan Siong.

Perkhemahan selama empat hari itu dihadiri ahli pengakap dari seluruh Negeri Kedah dan Thailand dengan penyertaan lebih 1,000 peserta.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia, Dato’ Shukur Baharum; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kedah, Abdul Razak Md Noh dan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Baling, Idris Said.

Sumber : UMTK