Penjawat Awam Perlu Bincang Dengan Wakil Rakyat

21penjawat
ALOR SETAR 21 September – Semua agensi Kerajaan Negeri disaran sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan wakil rakyat di kawasan masing-masing supaya setiap pembangunan dan projek berkepentingan dengan rakyat dapat dilaksanakan dengan baik, sekaligus memberi faedah kepada pelbagai pihak.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, walaupun masalah berkaitan komunikasi itu hanya berlaku di beberapa kawasan, namun pihaknya mengarahkan penjawat awam supaya mengadakan perbincangan dengan wakil rakyat mengenai sebarang projek pembangunan untuk rakyat.

“Masalah ini belum sampai tahap sehingga tidak dapat diperbetulkan, namun satu arahan sudah diberikan kepada semua penjawat awam di Kedah iaitu apa saja yang berkaitan dengan rakyat perlulah berbincang dengan wakil rakyat khususnya wakil rakyat Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Menurutnya, perkara sama pernah dibangkitkan sebelum ini membabitkan pemindahan tapak pasar malam Pantai Johor kerana kadang-kadang keputusan dibuat tanpa dimaklumkan kepada pucuk pimpinan hanya akan timbul masalah hingga dituduh sebagai tidak mesra rakyat.

“Bagaimanapun, saya mempertahankan keputusan yang dibuat pegawai Kerajaan, namun berpesan supaya berbincang dan memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak berkaitan sebelum sesuatu tindakan diambil,” katanya.

Sumber : UMTK