Skuad 1Malaysia Perlu Gigih Perangi Dadah

6skuad
ALOR SETAR 6 Ogos - Lebih 25,000  ahli Sukarelawan Antidadah (Skuad  1Malaysia) kelolaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan  di negeri ini perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam menangani gejala penagihan dadah termasuk air ketum.

Pengerusi Skuad  1Malaysia  Negeri Kedah, YB. Aminuddin Omar berkata, pembabitan semua pihak termasuk sukarelawan itu amat penting dana mereka perlu memainkan peranan masing-masing sebagai duta agensi itu di setiap daerah.

“Usaha membanteras gejala ini bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa, malah masyarakat juga perlu memainkan peranan untuk mencegahnya kerana gejala itu semakin menular sehingga ke segenap pelosok kampung. Sesiapa sahaja boleh terjebak dalam kancah ini tidak mengira usia termasuk pelajar sekolah rendah.

“Malah air ketum telah menjadi satu ancaman baru dan ada di merata tempat sehingga menjadi ketagihan walaupun minuman itu diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan serta Jabatan Mufti Negeri Kedah,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan berkata, fenomena air ketum amat membimbangkan dan kini turut membabitkan pelajar sekolah rendah.

“Mereka yang ketagih dan jika tidak meminumnya akan menjadi malas untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Justeru, saya mahukan gejala ini dibanteras sehingga ke akar umbi kerana boleh menggugat kestabilan negara dan juga ekonominya,” katanya.

Beliau juga berharap agar sukarelawan ini mampu menggalas tanggunjawab untuk membanteras gejala negatif ini dan bekerjasama sebagai satu pasukan bersama anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Sumber:UMTK