Parkir Kereta Wanita Di Central Square

Oleh OPAT RATTANACHOT
6pakir
SIMON Ho (kiri) bersama kakitangannya meninjau tempat letak kereta yang dikhaskan untuk wanita dan keluarga di Central Square, Sungai Petani, Kedah, semalam. - Utusan/OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 6 Ogos - Pusat beli belah Central Square di sini mencipta sejarah tersendiri apabila menyediakan tempat letak kereta khas untuk golongan wanita dan keluarga bermula ming­gu lalu.

Bagi membezakannya, tempat letak kereta berkenaan turut dicat dengan warna tertentu seperti biru dan tertera simbol besar.

Pengurusnya, Simon Ho berkata, penyediaan tempat letak kereta itu bertujuan untuk memberi kese­lesaan kepada pelanggan wanita dan juga mereka yang mempunyai anak kecil serta golongan kurang upaya (OKU).

"Malah, kami juga akan meningkat tahap keselamatan di kawasan berkenaan dengan memasang banyak lampu dan butang kecemasan untuk menarik perhatian pengawal keselamatan," katanya di sini hari ini.

Simon berkata, pihak pengurusan pusat beli-belah itu turut menyediakan perkhidmatan pengawal peronda dan pengawal keselamatan di kawasan tersebut.

Beliau memberitahu, kemudahan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada proses penjenamaan semula kompleks ber­kenaan yang kini diambil alih oleh Hektar Property Services Sdn. Bhd., milik Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT).

Katanya, kompleks tersebut diambil alih pada 1 Oktober 2012 dan dilakukan penjenamaan semula pada penghujung tahun lalu.

"Kompleks ini dinaik taraf menjadi sebuah pusat beli-belah serba moden dan mencapai penarafan kategori B+ setanding dengan pusat beli-belah di bandar besar seperti di Pulau Pinang,'' katanya.

Tambahnya, dalam tempoh terdekat, Central Square akan dilengkapi dengan kemudahan pawagam baharu.

"Kompleks ini sekarang mempunyai 202 kedai dan hampir 90 peratus telah disewakan,'' katanya.

Sumber:Utusan