MBAS Belum Lulus Bina Columbarium

mbasALOR SETAR 8 Mac - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) belum memberi kelulusan kepada Persatuan Penganut Ajaran Tua Pek Kong untuk membina satu unit bangunan columbarium (tempat penyimpanan abu mayat) dua tingkat di Taman Setia, Jalan Kilang Tebu di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah Badrulhisham Hashim berkata mengikut rekod, persatuan itu mengemukakan permohonan pelan bangunan, jalan dan parit serta pelan kerja tanah kepada MBAS pada November tahun lepas.

Beliau berkata permohonan itu hanya mendapat kelulusan bersyarat Jawatankuasa Pusat Setempat bertarikh 19 Disember 2013 dan kelulusan penuh pelan bangunan, jalan dan parit serta kerja tanah belum diperoleh sehingga kini.

"Rumah mayat ni dia tak jejas dari segi persekitaran, bau dan sebagainya sebab ia dalam bangunan. Kalau ikut di status geran tu pun adalah kubur Cina. Jadi kita akan tengok dari segi prosedur dan klausa setakat mana yang kita boleh pertimbang, ikut perundangan dan sebagainya.

"Banyak faktor lagi. Jadi walau macam manapun, saya nak nasihat penduduk supaya bertenang dan jangan panik. Keputusan kita akan tengok setiap kes secara individu dan percayalah kerajaan akan buat keputusan yang terbaik demi untuk menjaga semua," katanya kepada pemberita hari ini.

Cadangan membina bangunan columbarium itu mendapat bantahan penduduk di kawasan perumahan berhampiran yang memberi alasan ia boleh menimbulkan masalah kepada lebih 5,000 penduduk di Kampung Baru, Tambak Bunga, Taman Samudera, Taman Setia, Taman Kuantan, Taman Mega dan Jalan Kilang Tebu.

Semalam, penduduk tujuh kawasan itu mengadakan perhimpunan secara aman bagi membantah cadangan membina bangunan columbarium itu, yang dijangka dilaksanakan pertengahan tahun ini.

Badrulhisham juga berkata kerajaan negeri melihat isu yang dibangkitkan penduduk setempat secara serius.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedia menimbang cadangan penduduk agar rumah mayat terbabit dipindahkan ke kawasan lain, jika perlu.

Sumber: Bernama