Kedah Catat 106 Kes Demam Denggi

11denggi
Pembantu Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Daerah Kota Setar, Ahmad Termizi Tamat (tengah) memeriksa sampel air untuk mengesan jentik-jentik dalam Ops Gempur Aedes di Kampung Gunung Sali, Mergong, semalam.

ALOR SETAR 11 Februari - Sebanyak 106 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan di negeri ini dalam tempoh Januari sehingga 9 Februari lepas.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ismail Abu Taat berkata, daerah Kuala Muda mencatatkan kes tertinggi dengan 61 kes diikuti Kota Setar sebanyak 13 kes.

"Selain itu, Kulim mempunyai 10 kes, Baling dan Kubang Pasu (masing-masing tujuh), Padang Terap (empat) dan Pendang (satu).

"Kami memandang serius perkara ini dan akan meneruskan usaha membasmi denggi secara berterusan.

Selain penguatkuasaan, masyarakat juga diminta untuk memastikan kawasan persekitaran premis mereka bebas daripada pembiakan nyamuk aedes," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kes denggi menurun kepada 813 dengan satu kematian pada tahun lepas berbanding 817 berbanding empat kematian pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, dua kompaun berjumlah RM1,000 dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar menerusi Ops Gempur Aedes II 2014 yang dijalankan di sekitar kawasan Kampung Gunung Sali dekat sini hari ini.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah II, Dr. Aisyah Jusoh, kompaun itu dikeluarkan kepada dua pemilik kediaman di kampung tersebut yang didapati positif pembiakan aedes.

"Sebanyak 240 premis meliputi kawasan kediaman dan kilang telah diperiksa dalam operasi ini dan dua daripadanya yang didapati positif pembiakan aedes.

"Untuk itu, kita telah mengeluarkan dua kompaun mengikut Seksyen 13 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang mana setiap satu berjumlah RM500," katanya.

Tambahnya, dalam operasi yang melibatkan kira-kira 120 anggota penguat kuasa itu, pihaknya turut mengeluarkan satu notis di bawah Seksyen 8, akta yang sama kepada seorang pemilik kediaman.

"Biarpun pihak kami tidak menemui jentik-jentik, namun kawasan perkarangan rumahnya yang dipenuhi pelbagai barangan yang berpotensi menjadi lokasi pembiakan aedes.

"Melalui notis itu, kita beri tempoh tujuh hari kepada pemilik untuk membersihkan perkarangan rumahnya atau bakal dikenakan tindakan mahkamah," ujarnya.

Sumber: Utusan