PAIP BOCOR PUNCA BEKELAN AIR TERJEJAS


1paip1
BALING 1 November - Syarikat Air Darul Aman (Sada) menjangkakan berlaku banyak kebocoran pada jajaran paip hingga menjejaskan bekalan di kawasan Kampung Weng Dalam.
Sebelum itu, Sada mengadakan perjumpaan dengan wakil penduduk Weng Dalam bagi mencari jalan penyelesaian mengenai masalah bekalan air yang dihadapi penduduk.
Sada diwakili Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman, Pengurus Wilayah Timur, Muhammad Shofe Abdullah dan tiga kakitangan lain.
Difahamkan, Muhammad Shofe mula dilantik pada 15 Oktober lalu bagi menyelesaikan masalah bekalan air paip di daerah Baling dan Sik.
Rofedi berkata, kebocoran paip antaranya dipercayai kerana kerja naik taraf jalan dan paip dilalui kenderaan berat.
Menurutnya, Sada bagaimanapun akan melakukan kajian terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar.
“Dijangka berlaku banyak kebocoran paip di kawasan Weng dan Sada akan mencari jalan penyelesaian bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.
"InsyaALLAH dalam masa terdekat penduduk di kawasan Weng akan mendapatkan bekalan air,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Semalam akhbar ini melaporkan himpunan penduduk Kampung Weng Dalam di dua lokasi bagi mendesak kerajaan negeri dan Sada menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan mereka yang terjejas sejak tiga tahun yang lalu.
Menurut Rofedi, permukaan muka bumi di kawasan Weng yang tidak sekata antara faktor lain masalah bekalan air berlaku.
“Kawasan ini memerlukan tekanan air yang tinggi untuk disalurkan ke kawasan penduduk.
“Namun tekanan air dari kolam bukit sebelah untuk disalirkan ke dalam rumah Pam Bukit Sebelah bertekanan rendah,” katanya.
Rofedi berkata, ia berlaku kerana kuantiti air di kolam Bukit Sebelah untuk dibekalkan ke rumah pengguna berkurangan.
“Air di kolam Bukit Sebelah disalirkan dari kolam Belimbing, Sik. Tetapi kolam Belimbing tidak mampu menampung sepenuhnya kolam air Bukit Sebelah kerana sumber airnya disalurkan kepada banyak dalam daerah Sik.
“Ia menyebabkan air tidak dapat disalirkan sepenuhnya ke kolam Bukit Sebelah,” katanya.
Rofedi berkata, selain dibekalkan dari air rumah pam Bukit Sebelah, kawasan berkenaan turut menerima air dari rumah Pam Kampung Banggol Saga.
“Tangki Bukit Sebelah yang terima air dari Kolam Belimbing termasuk dari loji baru Jeniang disokong dengan bekalan air dari rumah pam Kampung Banggol Saga,” katanya.
Menurutnya, bagi mengatasi masalah berkenaan, Sada akan meningkatkan paras air di tangki Bukit Sebelah kepada paras dua meter.
“Masalah ini akan selesai apabila kuantiti air ditambah kepada paras dua meter,” katanya.
Tambahnya, masalah melibatkan rumah kawasan tinggi mengambil masa untuk diselesaikan.
“Tetapi masalah bekalan air melibatkan rumah penduduk di kawasan rendah seperti di Bukit Sebelah telah diatasi,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Shofe berkata, penduduk diharap dapat menyalurkan maklumat kepada Sada sekiranya berlaku kebocoran paip.
“Di kawasan Weng kita hanya ada lima pekerja bahagian penyelenggaraan. Jadi kita harap penduduk dapat salurkan maklumat jika ada kebocoran paip bagi tindakan segera,” katanya.
Terdahulu, Rofedi, Muhammad Shofe bersama kakitangan Sada meninjau kawasan Kampung Tebing Tinggi Mukim Kupang yang merupakan antara kawasan terjejas bekalan air paip sejak 10 tahun lalu.
Dalam tempoh itu, penduduk terpaksa bergantung kepada air dihantar lori Sada dan sebilangan lain menggunakan air telaga.
Namun, masalah itu diatasi apabila Sada melakukan agihan baharu termasuk menyelesaikan masalah teknikal pada jajaran paip.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Tebing Tinggi, Abdul Razak Md Noh berkata, bekalan air melibatkan 53 buah rumah kini pulih sejak empat hari lalu.
“Alhamdulillah semua rumah di kampung ni dah pulih termasuk di kawasan tinggi. Kami amat berterima kasih pada Sada yang bertungkus lumus membantu.
“Cuma ada lagi 15 buah rumah penduduk saja belum terima bekalan air paip kerana mereka tiada saluran paip ritikulasi. Tetapi masalah itu akan diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Penduduk, As Ad,37, berkata, perasaannya lega apabila bekalan air paip tidak terjejas seperti sebelum ini.
“Dulu kena tunggu Sada hantar air, tapi sekarang air memang cukup laju. Terima kasih Sada,” katanya.
Penduduk, Faridah Zakaria,37, berkata, dia bersyukur kini mampu menikmati bekalan air terawat.
“Sebelum ni saya dan keluarga guna air tak bersih, cukup susah nak dapatkan air bersih.
“Tapi sekarang Alhamdulillah dah boleh dapat air bersih. Ada kenduri atau ada kematian senang la nak uruskan,” katanya.
Oleh : Muhammad Ammar Mubassyir
Sumber : Sinar