Warga Emas Terharu Terima Rumah Baharu

7wargaemasMohd. Tajudin Abdullah (tengah) dan Zubir Hashim (kiri) memerhatikan Timah Lebai Mat memeriksa dinding yang reput dimakan anai-anai di Kampung Kuala Beris, Sik, Kedah, semalam.

SIK 7 Mac - Seorang warga emas bersama dua cucunya terharu apabila rumah mereka yang uzur akan digantikan dengan rumah baharu melalui program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Kuala Beris, dekat sini.

Timah Lebai Mat, 77, berkata, rumahnya yang berusia lebih 40 tahun itu hanya berlantaikan tanah yang beralaskan tikar getah selain terlalu uzur kerana dinding dan tiang dimakan anai-anai.

"Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada kerajaan dan TNB yang membantu mak cik mendapatkan sebuah rumah baharu yang lebih selesa.

"Bolehlah nanti cucu-cucu mak cik duduk dalam keadaan selesa, senang untuk mereka mengulang kaji pelajaran dan bila hujan nanti kami tidak perlu menadah air hujan di dalam rumah," kata Timah ketika Majlis Penyerahan Surat Tawaran Membina Rumah Baharu di Kampung Kuala Beris, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah dan turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Pembahagian TNB Kedah, Zubir Hashim.

Sementara itu Mohd. Tajuddin berkata, kerajaan amat prihatin dengan kebajikan rakyat dan bersedia membantu mereka untuk mengatasi masalah kesempitan hidup.

"Kebanyakan kawasan pendalaman perlukan sentuhan daripada kerajaan untuk membangunkannya dan perkara utama yang dilakukan adalah membantu rakyat yang miskin mendapatkan kebajikan mereka yang sepatutnya," kata Mohd. Tajudin.

Menurut beliau, program Baiti Jannati dengan kerjasama TNB kerap diadakan bagi membantu golongan miskin.

"Untuk tahun ini, sebanyak enam buah rumah akan dan sedang dibina melalui projek ini untuk diberikan kepada orang Melayu dan dua buah lagi kepada kaum India dan Cina melalui projek Rumah Mesra Rakyat," katanya.

Sumber: Utusan