RISDA Bantu Pekebun Terlibat Kebakaran Ladang

19risdaMOHD. Tajudin Abdullah (dua dari kiri) melihat bekas tadahan susu getah yang terbakar di Kampung Betong, Jeneri, Kedah, semalam.

SIK 19 Februari - Kira-kira 52 hektar ladang getah melibatkan 37 pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri ini terbakar ekoran cuaca panas dan kemarau sejak awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Penerangan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, RISDA kini sedang berusaha untuk memulihkan ladang getah yang terbakar itu dengan kaedah rawatan kapur serta memberi khidmat nasihat kepada pekebun kecil terlibat.

"Kejadian kebakaran ladang-ladang getah amat mengharukan kerana melibatkan hilangnya sumber pendapatan pemilik kebun tersebut dan para penoreh.

"Mereka mengalami kerugian beribu-ribu ringgit, tambahan pula dengan harga pasaran getah sekarang menjadikan keadaan ini bertambah buruk termasuk menjejaskan pendapatan penoreh-penoreh getah," kata Mohd. Tajudin ketika meninjau ladang getah milik pekebun kecil RISDA yang terbakar di Kampung Betong, Jeneri di sini semalam.

Dalam kejadian itu, sebanyak 15 hektar pokok getah yang berusia lebih 10 tahun mengalami 30 peratus kebakaran melibatkan sembilan pekebun kecil sekali gus mengakibatkan aktiviti menoreh terpaksa dihentikan sementara.

Kata Mohd. Tajudin, selain itu, RISDA juga akan memberi bantuan baja di bawah Skim Insentif Pekebun Kecil Getah dan kaedah rawatan dari pokok ke pokok oleh Lembaga Getah Malaysia.

Sementara itu, pemilik kebun getah, Hamid Salleh, 68, berkata, kejadian kebakaran pada 12 Februari lalu menyebabkan sebahagian pokok getah miliknya musnah.

"Kejadian berlaku pada pukul 1.30 petang ketika saya baru pulang dari menoreh getah dan orang kampung tergesa-gesa memberitahu ladang getah terbakar.

"Saya bergegas semula ke ladang dan mendapati keadaan api yang marak dan tidak dapat dikawal sementara pokok-pokok kecil di sekitarnya hangus terbakar dalam sekelip mata," kata Hamid.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pokok Jerai, Mohd. Sopian Yaakub berkata, belliau bergegas ke tempat kebakaran sebaik sahaja dimaklumkan.

"Atas inisiatif orang-orang kampung, kebakaran dapat dikawal daripada terus merebak ke kebun-kebun lain. Jika tidak, keadaan akan menjadi lebih parah dan lebih ramai lagi pekebun kecil akan hilang mata pencarian," kata beliau.

Sumber: Utusan