Pantau Peserta 1Azam

91azam
Mohd Tajudin (tengah) memotong riben ketika merasmikan program terbabit.

SIK 9 Mac - Peserta projek 1Azam Tani akan dipantau bagi memastikan usaha mereka membuahkan hasil seterusnya membantu meningkatkan pendapatan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, projek ini akan dipantau oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk membantu rakyat miskin yang mendaftar e-kasih.

“Kerajaan prihatin dengan masalah rakyat dan sentiasa membantu mereka yang miskin untuk jana pendapatan supaya boleh keluar dari kepompong kemiskinan.

“Melalui projek 1Azam Tani ini, pihak Mardi akan memberikan bantuan dan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan projek mereka yang terpilih ini berjalan sempurna seperti yang diharapkan,” katanya selepas Program Pemimpin Turun Padang Projek Azam Tani Dun Belantik, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi Mardi, Jamaludin Salim dan Pengarah Mardi Kedah, Rashidan Ariffin.

Menurutnya, program ini memberi peluang kepada peserta untuk berdikari bagi menambahkan pendapatan yang dahulunya hanya sekitar RM300 tetapi sekarang pendapat mereka melebihi RM1,200 sebulan.

Sementara itu, peserta Projek Perkhidmatan Pertanian, Abu Hassan Ngah, 52, dari Kampung Belantik berkata, projek ini memberikan pendapatan yang lumayan kepadanya.

“Jika dahulu pendapatan saya sekitar RM300 sahaja tetapi kini saya memperoleh lebih RM1,300 sebulan hasil daripada projek yang saya usahakan dengan bimbingan daripada pihak Mardi,” katanya yang mengusahakan semaian benih pokok.

Pengusaha kedai makanan dan minuman, Che Hajar Ismail, 41, dari Kampung Charuk Tenang pula memperoleh pendapatan sehingga RM2,000 sebulan hasil perniagaan yang dijalankan.

“Walaupun agak lama saya menunggu dan hampir kecewa tetapi kini saya bersyukur kerana dengan bantuan ini, saya boleh membaiki kedai lama yang uzur serta dapat menambah peralatan yang baru,” katanya.

Melalui projek itu, setiap peserta akan memperoleh bantuan sehingga RM10,000 mengikut syarat yang ditetapkan.

Sumber: Sinar