Terap Aspek Keselamatan, Elak Anak Terdedah Risiko Kemalangan

KULIM 12 Februari - Ibu bapa perlu menerapkan aspek keselamatan kepada anak-anak secara berterusan supaya mereka peka dan mengambil langkah selamat, khususnya semasa dalam perjalanan pergi dan balik sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Thiong Ghee berkata, tindakan tersebut diperlukan untuk memastikan anak-anak mereka tidak terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.

"Buat masa sekarang, didapati ramai di antara ibu bapa mengambil sikap sambil lewa dengan membenarkan anak-anak menunggang motosikal secara berbahaya ke sekolah. Kebanyakan pelajar terlibat tidak memakai topi keledar, malah tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

"Secara peribadi, saya tidak menggalakkan ibu bapa membenarkan anak-anak menunggang motosikal ke sekolah kerana dalam kes-kes kemalangan yang dilaporkan, kebanyakan mangsa adalah penunggang atau pembonceng motosikal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau aktiviti menunggang motosikal dalam kalangan pelajar sekolah menengah di sekitar Kulim baru-baru ini.

Thiong Ghee berkata, selain melibatkan isu keselamatan, tindakan menunggang motosikal ke sekolah juga merupakan satu bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya.

"Saya hairan bagaimana ibu bapa hari ini boleh membenarkan anak mereka yang tidak cukup umur menunggang motosikal ke sekolah. Ini adalah satu kesalahan serius dan boleh mengakibatkan motosikal yang ditunggang itu disita manakala pemiliknya juga boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Beliau yang merupakan seorang peguam berkata, pihak sekolah turut diingatkan agar bersikap tegas memastikan pelajar sekolah yang menunggang motosikal mempunyai lesen sah.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan meminta kerjasama pihak berkuasa agar memantau aktiviti tersebut dan menguatkuasakan undang-undang secara tegas.

Sumber: Utusan