Kerajaan Kedah Sedia Benih Berkualiti

karnivalict
KULIM 14 Februari - Kerajaan Kedah bersedia membantu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyediakan benih tanaman berkualiti bagi meningkatkan pendapatan petani yang menyertai Program Azam Tani Fama di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah Norsabrina Mohd Noor berkata usaha membekalkan benih tanaman yang baik seperti pisang itu boleh dilakukan menerusi Makmal Tisu yang diwujudkan oleh Kedah Bioteknologi (K-Bio) di Kulim Hi-Tech Park.

Katanya Fama Kedah memperuntukkan RM2 juta menerusi Program Azam Tani dalam usahanya meningkatkan taraf hidup 200 miskin tegar di negeri itu.

"Melalui Program Azam Tani ini, Fama kini menyediakan 'joran-joran' untuk peserta program dan terpulanglah kepada mereka untuk menjayakan diri mereka khususnya meningkatkan pendapatan keluarga melalui usaha yang mereka lakukan dengan pemantuan terus-menerus selama dua tahun dari segi khidmat nasihat dan sebagainya oleh pihak Fama," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Motivasi dan Kursus Keusahawanan kepada 50 peserta Program Azam Tani Daerah Kulim/Bandar Baharu. Norsabrina berkata pada 2013, Program Azam Tani melibatkan 100 peserta iaitu 50 orang di Baling dan baki di daerah Kulim dan Bandar Baharu.

"Sementara itu, 100 lagi dari daerah Sik akan mendapat kemudahan sama pada tahun ini mengikut senarai yang dipilih dan disaring melalui e-Kasih yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kita berharap kemudahan yang disediakan Fama ini akan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh peserta kerana jika mereka berusaha keras, masa depan mereka dan keluarga terjamin kerana pemilihan yang dibuat adalah secara rapi demi kejayaan mereka sendiri," katanya.

Sumber: Bernama