Oleh OPAT RATTANACHOT
Seorang
anggota Bomba dan Penyelamat memantau kebakaran yang berlaku di tapak
pelupusan sampah Semeling, Sungai Petani, Kedah, semalam.
SUNGAI
PETANI 12 Februari - Ekoran cuaca panas dan kering yang melanda negeri
ini sejak hampir dua bulan lalu, orang ramai diingatkan supaya tidak
melakukan pembakaran terbuka.
Ketua
Bomba dan Penyelamat Zon Sungai Petani, Nor Arifin Kamari berkata,
tindakan tersebut boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara
seterusnya menyebabkan keadaan jerebu.
"Dalam
keadaan cuaca seperti ini, orang ramai harus mengambil langkah
berjaga-jaga iaitu tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan
pembakaran terbuka. Itu termasuklah membuang puntung rokok ke kawasan
yang mudah terbakar, membakar sampah sarap, membuat unggun api semasa
memancing, berburu atau aktiviti seumpamanya," katanya selepas meninjau
operasi memadam kebakaran pusat pelupusan sampah Semeling di sini hari
ini.
Nor Arifin berkata, orang ramai juga dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti di luar rumah dalam musim kemarau ini.
Dalam
perkembangan berkaitan, beliau berkata, keadaan kebakaran pusat
pelupusan sampah di Semeling kini berada dalam keadaan terkawal.
Beliau
memberitahu, seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai
Petani, Yan dan Alor Setar telah ditempatkan dilokasi tersebut bagi
menjalankan operasi memadam kebakaran.
"Kejadian
ini berlaku kira-kira pukul 11 pagi semalam dan sejurus menerima
laporan, kita telah menjalankan operasi memadam api. Selain anggota
tetap, kita juga telah mendapatkan bantuan daripada Pasukan Bomba
Sukarela di sekitar Merbok dan Sungai Petani," katanya.
Nor
Arifin memberitahu, pihaknya akan melakukan pemantauan sepanjang tempoh
24 jam di lokasi tersebut bagi mengelakkan api merebak semula.
"Kita
juga menghadapi sedikit masalah iaitu angin kencang dan kekurangan air.
Bagi mengatasi masalah, bekalan air terpaksa diangkut dari tiga lombong
berdekatan," katanya.
Sumber: Utusan