ALOR
SETAR 9 Februari - Sebanyak RM3.7 juta diperlukan untuk menaiktaraf
jaringan jalan utama, jalan dalaman dan jalan lingkaran Terminal Bas
Shahab Perdana, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini untuk memberi
keselesaan kepada pengguna pengangkutan awam di situ.
Pengerusi
Jawatan Kuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga,
Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim berkata,
beliau telah memohon peruntukan tersebut daripada Kerajaan Pusat tahun
lalu dan masih menunggu kelulusan tersebut sebelum kerja-kerja
menaiktaraf boleh dijalankan.
"Kita
dapati kawasan Terminal Bas Shahab Perdana ini dibina di atas tanah
sawah dan tanahnya tidak kukuh disebabkan itu selalu terjadi jalan
mendap serta berlubang.
"Pihak
Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memperuntukkan RM100,000 untuk
membaiki jalan tersebut setiap tahun namun masalah ini sering berulang.
"Disebabkan
itu projek menaiktaraf jaringan jalan di sini perlu dibuat dengan
mengguna simen kerana ia dapat mengatasi masalah jalan mendap untuk
tempoh jangka masa panjang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan mengejut ke Terminal Bas Shahab Perdana di sini hari ini.
Menurut
Badrol Hisham, Terminal Bas Shahab Perdana yang memulakan operasi pada
tahun 1996 adalah antara pintu masuk utama ke negeri ini dan semua pihak
perlu bekerjasama untuk menjaga imej terminal tersebut.
"Saya
dapati tahap kebersihan di sini berada pada tahap memuaskan dan banyak
ruang yang masih boleh dibaiki untuk meningkatkan tahap kebersihan di
sini.
"Peniaga
perlu mematuhi peraturan dan saya harap mereka tidak membuang sampah
merata-rata ke dalam longkang untuk mengelakkan masalah longkang
tersumbat berlaku," jelasnya.
Dalam
pada itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad yang turut serta
dalam lawatan mengejut itu memberitahu, sebuah tandas awam baharu akan
dibina di Terminal Bas Shahab Perdana dengan kos RM250,000.
Sumber: Utusan