Manfaat Pemberian Netbook - Abdul Azeez

25netbook
 BALING 25 Februari - Penerima bantuan netbook 1Malaysia di kawasan ini diseru agar menggunakan kemudahan itu sebaik-baiknya dan tidak terpengaruh dengan gejala negatif yang boleh merosakkan pembelajaran mereka.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pelajar-pelajar tersebut perlu memanfaatkan sepenuhnya penggunaan netbook dan tidak mensia-siakan pemberian tersebut.

"Terapkan nilai-nilai positif dalam penggunaan netbook, bukannya bermain permainan yang melalaikan atau melayari perkara-perkara yang tidak berfaedah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Komputer Netbook Peringkat Parlimen Baling di Dewan Sekolah Menengah Agama Baling, di sini kelmarin.

Dalam majlis penyerahan kali kelapan itu, sebanyak 1,045 pelajar tingkatan tiga sehingga tingkatan enam menerima netbook menjadikannya 7,000 pelajar layak menerimanya.

Kata Abdul Azeez, pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan netbook untuk pelajar tingkatan satu pada masa akan datang sekiranya perlu berbuat demikian.

"Keperluan netbook dalam kalangan pelajar sekolah memang tidak dapat dinafikan lagi dan adalah salah satu alat bantuan untuk mencari bahan-bahan ilmiah, di samping buku-buku rujukan dan sebagainya di pasaran.

"Demi pendidikan saya akan berusaha untuk dapatkan netbook kepada pelajar-pelajar di tingkatan satu pada masa hadapan," katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak retorik dalam usaha membantu rakyat dari semasa ke semasa dan rakyat perlu tahu kerajaan selama ini tidak terlepas pandang untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukannya.

Sementara itu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putera, Aizat Danial Idris, 16, berkata, dia amat gembira kerana terpilih untuk menerima netbook tersebut.

"Saya gembira apabila mendapat surat mengatakan layak menerima netbook yang diidam-idamkan selama ini dan terima kasih kepada kerajaan yang banyak membantu rakyat terutamanya kepada pelajar seperti saya," kata Aizat.

Pelajar SMK Kuala Ketil, P. Peniesswary, 17, berkata, dia akan menggunakan sebaiknya netbook tersebut memandangkan keluarganya tidak mampu menyediakan kemudahan itu.

"Bapa hanya bekerja sebagai pemandu lori tidak mampu menyediakan netbook tersebut kerana harganya terlalu mahal," katanya.

Sumber: Utusan