MUKHRIZ
Mahathir (tengah) beramah mesra dengan kumpulan kepemimpinan siswa
Universiti Utara Malaysia selepas perasmian penutupan Student Leadership
Camp 2014 di Tabung Haji Hotel, Kepala Batas, Alor Setar baru-baru ini.
ALOR
SETAR 25 Februari - Sebanyak 595 mahasiswa terdiri daripada pemimpin
pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) mengikuti Kem Kepemimpinan
Pelajar (SLC) dianjurkan universiti itu selama 11 hari baru-baru ini.
Kem itu bertujuan membentuk pemimpin masa depan yang mampu mencorakkan bangsa Malaysia ke arah yang lebih gemilang.
Timbalan
Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Abdul
Malek Abdul Karim berkata, kem itu merangkumi tiga fasa melibatkan
pendedahan kepada teori kepimpinan, kemahiran membina pasukan serta
kemahiran dalam merancang aktiviti mahu pun program untuk mahasiswa.
"Program
ini dijalankan secara tahunan di mana para peserta diberi kefahaman
yang mendalam terhadap patriotisme, kepimpinan serta inisiatif yang
perlu diambil dan dilakukan oleh seorang pemimpin hebat.
"Bagi
fasa pertama, aktiviti dijalankan di dalam kampus sebelum para peserta
dibawa ke Biro Tata Negara Kaki Bukit di Perlis dan yang terakhir
perasmiannya dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir
di TH Hotel agar peserta dapat merasai suasana yang berbeza-beza,"
katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sementara
itu salah seorang peserta, Hazimah Hassan, 21, berkata, dia berbangga
dapat mengikuti program berkenaan kerana baginya kem itu banyak mendidik
dirinya dalam mengenal sisi lain dimiliki oleh seorang pemimpin.
"Dalam
kem ini kami dididik tentang bagaimana seorang pemimpin perlu mempunyai
'soft skill' bagi berdepan situasi yang berbeza. Keyakinan diri perlu
tinggi dan pemikiran juga perlu maju untuk memimpin orang lain.
"Jelas
sekali program ini amat bermanfaat untuk kami. Saya harap dengan segala
ilmu diperolehi, saya dapat menjalankan amanah untuk memimpin
rakan-rakan di universiti menjadi lebih baik," katanya.
Bagi Geethan Arumugam, 22, pula, dia dapat merasakan betapa keyakinan dirinya meningkat sebaik menamatkan program itu.
"Setelah mengikuti kem ini, saya akhirnya sedar bahawa setiap orang boleh menjadi pemimpin jika usaha yang diambil betul.
"Sebagai
contoh, seorang pemimpin tidak hanya boleh memiliki wawasan sebaliknya
harus berdisiplin dan berakhlak baik serta sentiasa bermoral," ujarnya.
Dalam
pada itu, Mukhriz ketika menyampaikan ucapannya berkata, para pemimpin
dalam apa sahaja perbuatannya harus mempunyai tekad bahawa tindakan itu
akan membawa kebaikan kepada negara.
Selain
itu katanya, para pemimpin juga perlu berpegang kepada empat sifat
Rasulullah SAW bagi membolehkan mereka berdepan dengan apa jua rintangan
dalam membawa kebaikan kepada semua pihak.
"Anda
pun tahu empat sifat itu adalah Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fathonah.
Jika kesemua empat sifat itu sentiasa dipegang, yakinlah bahawa anda
sebagai pemimpin mampu melalui apa jua rintangan.
"Sebagai
pemimpin, apa juga keputusan yang kita ambil, pasti akan ada pihak yang
menganggap itu tidak adil baginya. Di situlah cabarannya namun kita
perlu membuat keputusan yang adil dan terbaik bagi seramai mungkin
manusia dan bukan hanya kelompok kecil saja," katanya.
Sumber: Utusan