MAHABBATUR RASUL - KEDAH BERSELAWAT (QASIDAH CINTA RASUL)

8mahabbaturrasul
 
ALOR SETAR, 8 Februari – Kira-kira 40,000 umat Islam membanjiri Stadium Darul Aman, di sini bagi memeriahkan Program Malam Mahabbatur Rasul – Kedah Berselawat.
 
Program diadakan bagi menyemarakkan sambutan bulan Maulidur Rasul itu bermula jam 5.30 petang dengan perarakan kontinjen yang bergerak dari lapan lokasi berbeza.
 
Turut serta ialah Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir yang mengetuai barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) berarak bersama warga kerja Wisma Darul Aman sambil mengalunkan selawat di sepanjang perjalanan menuju ke Stadium Darul Aman.
 
Antara sektor yang terbabit dalam perarakan berkonsepkan pembukaan Kota Makkah itu ialah mewakili sektor perkhidmatan, pendidikan, belia dan badan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), universiti, parti politik dan wakil Kolej Universiti Insaniah (KUIN).
 
Selepas perarakan, program berkonsepkan santai ini diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah, disusuli solat sunat hajat mendoakan pasangan suami isteri warga Malaysia di Sweden yang dikenakan tindakan akibat memukul seorang anak yang tidak bersolat.
 
Program itu turut menyaksikan persembahan qasidah dan selawat pimpinan pendakwah dari Solo, Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir Assegaff, selain tazkirah oleh Mufti Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Mohamad Baderudin Ahmad.
 
Sementara itu, Menteri Besar dalam ucapannya, berhasrat mengembalikan kegemilangan Negeri Kedah sebagai gedung ilmu dalam menghasilkan golongan ulama di negara ini.
 
Beliau berkata, usaha akan dijalankan bagi menjadikan Kedah sebagai negeri yang mampu menerajui kecemerlangan umat yang progresif dan sarat dengan ilmu duniawi serta ukhrawi.
 
“Bagaimanapun, untuk mencapai cita-cita itu, kita perlukan penghijrahan minda supaya lebih terbuka dan maju bagi menyahut cabaran pendidikan di alaf baharu,” katanya.
 
 Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Mohd Rawi Abdul Hamid; Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, YB. Dato’ Md Rozai Shafian; Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri Kedah, Tuan Haji Mohamad Che Nai dan Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Yahaya Jusoh.
 
Sumber: UMTK