100 Lepasan Asasi Terima Sijil Di Kuin

11kuin
Sebahagian pelajar lepasan persijilan asasi Kolej Universiti Insaniah pada Majlis Graduasi Asasi Kali Keempat di Dewan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Kampus Kuin Mergong, Alor Setar, Kedah, semalam. - Gambar ihsan Kuin.

ALOR SETAR 11 Februari - Seramai 100 orang pelajar lepasan persijilan asasi Kolej Universiti Insaniah (Kuin) menerima sijil masing-masing di Majlis Graduasi Asasi Kali Keempat di Dewan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Kampus Kuin Mergong di sini hari ini.

Majlis bermula dengan pengisian motivasi kecemerlangan sebelum sesi penganugerahan dengan perarakan pelajar, akademik dan pengurusan utama.

Hadir bagi menyempurnakan penganugerahan sijil kepada para pelajar ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan Kuin, Prof. Dr. Che Ani Mad@Ahmad.

Che Ani ketika berucap mewakili Rektor Kuin pada majlis itu menyeru semua pelajar untuk melipatgandakan usaha apabila berada di peringkat pengajian yang lebih tinggi.

Beliau turut menyentuh tentang usaha murni Kuin untuk terus maju dan berkembang sebagai sebuah institusi pendidikan bertaraf global yang menjadi harapan dan kebanggaan umat Islam.

Kesemua yang menerima sijil terdiri daripada pelajar sijil asasi Pengajian Islam, Sains dan Pengurusan.

Pada majlis sama, pelajar lepasan Sijil Asasi Pengajian Islam, Mohamad Anas Mohamad Yaakub diumumkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan apabila berjaya memperoleh PNGK 3.98 selain aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum sepanjang bergelar pelajar asasi.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Pusat Pengajian Asasi Kuin, Adlina Abdul Khalil, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Datuk Abdul Aziz Abdul Ghani, pensyarah dan waris pelajar.

Sumber: Utusan