Keda Belanja RM2 Juta Majukan Inap Desa Kampung Relau

17keda

BANDAR BAHARU 17 Februari - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) telah membelanjakan lebih RM2 juta bagi menaik taraf kemudahan, promosi dan pembangunan pertanian di bawah program inap desa melibatkan penduduk di Kampung Relau, dekat sini sejak tahun lalu.

Pengurus Besarnya, Datuk Arpan Shaari berkata, peruntukan besar tersebut dikeluarkan ekoran komitmen penduduk kampung berkenaan yang berjaya menunjukkan kejayaan dalam menguruskan inap desa mereka sejak 10 tahun lalu.

"Walaupun pada peringkat permulaan, kita agak ragu-ragu meluluskan peruntukan yang dipohon, namun setelah membuat penilaian dan mendapati hasil program inap desa di sini amat baik, Keda akhirnya bersetuju menyalurkan bantuan.

"Pada masa sama, kita juga kagum dengan komitmen penduduk memajukan projek ini sejajar dengan matlamat Keda untuk meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk luar bandar menerusi progaram Pembangunan Semula Kampung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan arked niaga Keda berharga RM200,000 dan majlis pelancaran Koperasi Daya Maju Berhad Mukim Relau di Pekan Relau, dekat sini hari ini.

Yang hadir bersama ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi Kedah, Datin Norsabrina Mohd. Noor. Arpan berkata, pembinaan arked niaga tersebut memudahkan penduduk bergabung menerusi koperasi bagi memasarkan produk mereka di situ.

Katanya, antara produk berkenaan adalah madu kelulut, daging rusa, kibas, ikan air tawar, mencanting batik dan kraftangan.

Tambahnya, selain itu, Kedah turut mengeluarkan peruntukan lebih RM100,000 untuk membina Dewan Orang Ramai di Kampung Ulu Kilang Batu, Relau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Relau, Abdul Razak Abdul Hamid, 56, memberitahu, lebih 100 penduduk terbabit dalam beberapa program yang dijalankan untuk memajukan sektor pelancongan, industri asas tani dan inap desa.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menghantar beberapa orang penduduk khususnya dalam kalangan belia untuk mengikuti kursus kemahiran pelbagai bidang untuk mengendalikan projek-projek di situ.

"Usaha ini secara tidak langsung mengelakkan golongan belia berhijrah ke luar kawasan," jelasnya.

Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu pula berkata, pihaknya memuji semangat ketekunan yang ditunjukkan penduduk Kampung Relau kerana dapat menguruskan pelbagai projek dengan jayanya.

Sumber: Utama