MOHD. RAFIE AZIMI
ALOR
SETAR 17 Februari - Ekoran cuaca panas dan kering di negeri ini,
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri sejak awal tahun ini menerima
lebih 100 panggilan melibatkan kes kebakaran setiap hari.
Pengarahnya,
Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Ahmad Shahabuddin berkata, jumlah itu
meningkat lebih empat kali ganda berbanding sebelum ini sekitar 25
hingga 35 panggilan setiap hari.
"Justeru
saya memohon semua pihak agar lebih berhati-hati pada masa ini. Bagi
saya, jumlah kes pada tahun ini meningkat terlalu mendadak sedangkan
kita baru dua hari melepasi pertengahan bulan Februari," katanya dalam
sidang akhbar pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Negeri di sini hari
ini.
Pada
majlis yang sama Ahmad Shahabuddin turut menyaksikan penyerahan tugas
oleh bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Awang
kepada penggantinya, Sufian Hassan.
Statistik dikeluarkan JBPM menunjukkan 1,318 kes kebakaran dicatatkan di negeri ini sejak 1 Januari lalu sehingga semalam.
Kebanyakan
melibatkan kebakaran belukar serta lalang iaitu sebanyak 878 kes dan
jumlah itu jauh meningkat daripada cuma 785 kes kebakaran bagi tempoh
Januari dan Februari 2013.
Kata
Ahmad, di sebalik peningkatan tersebut, sesuatu yang merunsingkan
pihaknya adalah sikap tidak bertanggungjawab individu tertentu yang
merosakkan pili bomba termasuk sesetengahnya mengalami kecurian.
"Tahun
lalu saja, 480 unit pili bomba terpaksa dibaiki dengan kos pembaikan
sebanyak RM212,208. Ini bukan saja sesuatu yang merugikan dari segi
kewangan malah turut mendatangkan kesusahan sekiranya berlaku kecemasan
di kawasan tersebut," katanya.
Ditanya
situasi kebakaran di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Alor Setar
(MBAS) Jabi, Pokok Sena dan tapak pelupusan sampah di Semeling, Bedong,
Sungai Petani baru baru ini, beliau memberitahu anggotanya berada di
tapak tersebut selama 24 jam bagi memantau keadaan untuk memastikan api
padam sepenuhnya.
"Setakat
ini kepulan asap dari bahagian bawah timbunan sampah itu masih ada.
Memang sukar untuk memadamkannya kerana sampah-sampah itu tertimbus jauh
ke dalam tanah selain penghasilan gas mudah terbakar akibat lambakan
sampah sejak sekian lama.
"Kami
menempatkan sekurang-kurangnya dua jentera di setiap lokasi berkenaan.
Walaupun operasi di Jabi sudah mencecah lima hari, tetapi saya jangkakan
usahanya akan mengambil masa sedikit lama kerana keadaan cuaca ketika
ini," katanya.
Sumber: Utusan