Lahir Pelayar Bertaraf Dunia

17pelayar

KUAH 17 Februari - Pusat Latihan Perahu Layar Malaysia, Langkawi berada di landasan tepat dalam melahirkan pelayar bertaraf dunia.

Dengan pelbagai penganjuran sukan layar bertaraf antarabangsa ia menjadi hab sukan pelayaran kepada semua atlet seluruh dunia termasuk Hong Kong, Singapura, India turut menjalani latihan di sini.

Exco Pelancongan, Agama, Sumber Manusia, Masyarakat Siam dan India, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, dari segi pembangunan pelancongan sukan pelayaran ini cukup menjana sumber ekonomi kepada kerajaan negeri dan negara.

"Saya amat yakin di sini akan lahir pelayar negara yang mampu menggenggam pingat pada Sukan Olimpik 2016 nanti.

"Perairan kawasan latihan di sini adalah tempat yang paling strategik kepada seluruh pelayar dunia dan beberapa negara benua Asia telah menghantar atlet mereka untuk menjalani latihan di sini,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Kejohanan KFC Regatta Perdana Antarabangsa Langkawi 2014 edisi ke 11 bertempat di Pusat Latihan Perahu Layar Malaysia, Langkawi, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Naib Presiden (I) Persatuan Pelayaran Malaysia, Datuk Mansor Ismail dan Pengurus Besar MYA, Mohd Afendy Abdullah.

Mohd Rawi berkata, sukan pelancongan seperti ini juga mampu menjana sumber ekonomi pada negara.
“Saya difahamkan hampir RM120 hingga RM125 juta setahun dikutip dengan kehadiran mereka untuk menjalani latihan dan menyertai pertandingan di Langkawi.

"Oleh itu, fasiliti di tempat ini juga perlu dipertingkatkan untuk menampung pertambahan pelatih-pelatih layar ke sini," katanya.

Beliau turut menjemput pelayar untuk menyertai Kejohanan Layar Remaja Dunia, Langkawi 2015 (ISAF World Youth Sailing Championship 2015) pada tahun hadapan.
Sementara itu, dalam kejohanan KFC Regatta Perdana Antarabangsa Langkawi 2014 edisi ke-11 ini, sebanyak lapan acara dipertandingkan melibatkan hampir dua ratus penyertaan dari 19 kelab pelayaran dalam negara dan pelayar antarabangsa.

Sumber: Sinar