Imej Pekan Rabu Boleh Tercemar

11pekanrabu
Beberapa peminta sedekah kelihatan di atas jejantas berhampiran kompleks perniagaan tersebut.

ALOR SETAR 11 Februari - Kehebatan Kompleks Perniagaan Pekan Rabu, dekat sini, sebagai pusat perniagaan produk tempatan Bumiputera dan produk pelancongan negeri sememangnya tidak perlu dipertikaikan.

Sayangnya, keenakan aneka makanan tradisionalnya, malah keunikan lokasi tarikan pelancong ini sedikit sebanyak dicemari kehadiran peminta sedekah berdekatan jejantas kompleks perniagaan tersebut.

Tinjauan mendapati seorang peminta sedekah duduk agak berdekatan kedai peniaga, manakala seorang lagi duduk di tengah jejantas berkenaan, sambil masing-masing membawa bekas minuman mereka.

Pelancong dari Pulau Pinang, Norazila Shamsudin, 25, berkata, dia terkejut apabila melihat kehadiran beberapa peminta sedekah sewaktu melintas jejantas untuk menaiki bas.

“Kami sebenarnya tidak menyangka golongan peminta sedekah akan muncul di kawasan terkenal sedemikian. Sepatutnya, ia bukan budaya kita,” katanya ketika ditemui di hentian bas.

Katanya, dia agak memahami situasi sedemikian kerana sebagai lokasi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa, ia merupakan peluang individu tertentu memperoleh sedikit wang.

Bagaimanapun, katanya, situasi sedemikian akan menjejaskan imej kompleks perniagaan terbabit pada pandangan mata sesetengah pelancong khususnya dari luar negara.

Manakala, seorang peniaga yang enggan dikenali, 49, berkata, adakala kelibat peminta sedekah kelihatan di jejantas terbabit, namun kadang-kadang tidak.
“Ada jugalah pelancong mengadu. Namun, kami nak buat macam mana. Rasa serba-salah. Kasihan pada mereka, namun bimbang juga pelanggan lari,” katanya.

Katanya, dia cuma berharap golongan sedemikian diberikan perhatian sewajarnya, agar tidak mengulangi perbuatan meminta sedekah lagi.

Sumber: Sinar