MADA Popularkan Markisa

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
10markisaPENYELIA Ladang Projek Tanaman Markisa, Azhar Ahmad Alwi (kiri) bersama rakannya Matt Zaidi Tahir meneliti saiz serta kualiti isi buah markisa keluaran MADA di ladang Tobiar Gold, Kedah, baru-baru ini.

PENDANG 10 Februari - Bagi sesetengah penduduk di negeri ini, buah markisa barangkali kedengaran asing sehingga ada yang mungkin sukar untuk menggambarkan rupanya.

Begitu pun bagi yang mengetahui, markisa akan menjadi buah-buahan yang sentiasa dicari bukan hanya kerana keenakan rasa masam-masam manisnya malah khasiatnya yang tinggi terutamanya bagi mereka yang mementingkan kecantikan.

Apapun, pada masa akan datang, ada kemungkinan markisa tidak lagi akan menjadi sejenis buah yang eksklusif atau sukar dicari memandangkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kini mengorak langkah untuk memperbanyakkan tanaman itu.

Menurut Pengarah Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan Padi MADA, Zulkifli Romli, potensi yang ada pada tanaman markisa di negara ini sebenarnya cukup besar dan mendapat permintaan tinggi namun pihaknya masih belum dapat memenuhi permintaan tersebut di atas beberapa faktor.

"Hajat kami besar tetapi kami tidak dapat menanam markisa secara besar-besaran seperti dilakukan terhadap mempelam chokanan yang lebih dikenali sebagai Tobiar Gold akibat kekurangan tanah. Setakat ini kami cuma mempunyai 330 pokok markisa yang ditanam di ladang mempelam tersebut.

"Bagi mengatasi masalah itu, kami sudah edarkan kira-kira 5,000 benih markisa sejak 2012 kepada para peladang untuk ditanam di tanah mereka. Tetapi, mungkin disebabkan buah ini masih baru bagi $peladang di sini, mereka kurang menjual buahnya kepada kami," katanya ketika ditemui di ladang Tobiar Gold di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Zulkifli, pihaknya tidak gusar dengan keadaan itu kerana perkara itu merupakan sesuatu yang lumrah bagi jenis tanaman baharu.

Beliau menambah, pihaknya sebelum ini sudah menghasilkan jus markisa yang mendapat sambutan cukup hangat daripada pengguna.

Namun kata beliau, kekurangan buah itu mengakibatkan penghasilan jus berkenaan terpaksa diperlahankan sehingga kurang dikenali di kalangan masyarakat umum.

"Disebabkan itu, kami menyasarkan untuk mengedarkan sebanyak 20,000 benih markisa kepada peladang di bawah MADA pada 2014 agar pengeluarannya konsisten.

"Setakat ini semuanya sudah ada termasuk strategi pembotolan dan penjenamaan. Tinggal buahnya saja yang kurang. Kami yakin dengan potensi yang ada dan disebabkan itu, MADA tidak ragu-ragu untuk memperbanyakkan pengedaran benih tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz turut menaruh keyakinan terhadap langkah pihaknya menjadikan markisa sebagai taruhan terbaru dalam membantu peladang-peladang di bawahnya menambah pendapatan.

"Sebelum ini markisa cuma popular di Indonesia tetapi hanya baru-baru ini kita kenal pasti rupanya. Tanah di Kedah ini juga sesuai untuk tanaman tersebut.

"Pokoknya mudah dijaga, benihnya murah dan harganya juga bagus sekali gus mampu memberi kebaikan kepada para peladang. Saya yakin markisa mampu menjadi produk yang mampu mendatangkan keuntungan kepada semua penanam," katanya.

Sumber: Utusan