Oleh SAFINA RAMLI
Mukhriz
Tun Dr. Mahathir mendapat buah limau dari Dewa Keewangan setibanya ke
Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA negeri Kedah di Alor
Setar, semalam.
ALOR
SETAR 1 Februari - Kerajaan negeri Kedah perlu menunggu pengesahan MCA
Pusat sebelum melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
daripada parti itu sebagai Exco.
Menteri
Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, pihaknya telah
bersedia pada bila-bila masa dan tidak keberatan untuk membuat
pelantikan tersebut jika menerima pengesahan.
"Saya
difahamkan, dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA Pusat (baru-baru
ini), ada beberapa keputusan yang mereka buat tetapi masih ada dua tiga
perkara yang ingin mereka selesaikan terlebih dahulu.
"Ada
juga keputusan yang bersangkut paut dengan pelantikan Exco tetapi saya
perlu pengesahan MCA Pusat sebelum pelantikan peringkat negeri dapat
dibuat," katanya.
Beliau
berkata demikian selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu
Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kedah di Tanjung Bendahara di sini
hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Presiden Gerakan, Dr. Cheah Soon Hai; Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang dan lain-lain jemputan.
Berikutan
prestasi buruk MCA pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu,
mesyuarat agung parti itu sebelum ini melarang anggotanya memegang
sebarang jawatan dalam kerajaan.
Namun
pada 20 Oktober lalu, resolusi mesyuarat agung luar biasa parti itu
pula membenarkan anggotanya menerima pelantikan jawatan peringkat
kerajaan negeri.
Kedah mempunyai dua ADUN daripada MCA iaitu Dr. Leong Yong Kong (Gurun) dan Chua Thiong Gee (Kulim).
Sementara
itu, Mukhriz memberitahu, kerajaan negeri bersedia menjalin kerjasama
dengan Dewan Perhimpunan Cina Kedah untuk menganjurkan pesta tanglung
dalam usaha mengeratkan hubungan pelbagai kaum di negeri ini.
"Saya
telah bercakap dengan Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Kedah, Datuk
Cheng Lai Hock mengenai cadangan untuk menjadikan pesta tanglung sebagai
salah satu acara yang dapat mengeratkan hubungan antara kaum.
"Saya
lihat perkara ini sebagai baik dan meminta pihak beliau mengemukakan
kertas kerja untuk kita bincangkan di peringkat Exco," katanya.
Sumber: Utusan