Oleh OPAT RATTANACHOT
KU
Rahman Ku Ismail (kanan) menunjukkan ayam segar selepas melancarkan
Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri
Kedah di Pasar Besar Awam di Kulim, Kedah, baru-baru ini. - BERNAMA
KULIM
29 Januari - Orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan
peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati, terutamanya menjelang
perayaan Tahun Baharu Cina boleh membuat aduan di kaunter khas yang
disediakan di pasar- pasar awam utama negeri ini.
Pengerusi
Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal
Pengguna dan Koperasi Kedah, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail
berkata, kaunter tersebut diwujudkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) sebagai langkah membolehkan orang
ramai membuat aduan terus kepada pegawai yang bertugas.
Katanya,
langkah tersebut juga memudahkan pihak berkuasa memantau kenaikan harga
barangan secara melampau hingga membebankan pengguna.
"Dengan
adanya kaunter ini, aduan disalurkan terus kepada pegawai PDNKK dan
mereka boleh mengambil tindakan serta-merta," katanya kepada pemberita
selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina
peringkat negeri di Pasar Besar Awam Kulim, di sini baru-baru ini.
Yang
hadir bersama ialah Pengarah PPDNKK Kedah, Mohd. Sakri Saleh; Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Thiong Ghee dan Pengerusi
Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Datuk Mohd. Hadzir Ismail.
Ku
Abdul Rahman berkata, secara umumnya, harga bahan makanan di
pasar-pasar utama negeri ini masih terkawal meskipun berlakunya sedikit
peningkatan terhadap ikan dan hasil laut.
"Sayur-sayuran
tempatan juga berlaku sedikit kenaikan. Contohnya kobis Cameron
Highlands. Namun begitu, para pengguna mempunyai pilihan dan saya
melihat ramai daripada pengguna memilih kobis import dari Thailand yang
harganya rendah sekitar 50 sen berbanding kobis tempatan," katanya.
Sementara
itu, Mohd. Sakri berkata, pihaknya telah membekukan cuti rehat semua
150 kakitangan pejabat itu di negeri ini sepanjang tempoh berlangsungnya
kempen kawalan harga mulai 26 Januari lalu hingga 9 Februari ini.
Sumber: Utusan